top of page

Tak perlu laporan EIA bagi kilang tambahan: JAS


Fitri (tiga, kanan) dalam pertemuan bersama penduduk, hari ini.

KULIM - Jabatan Alam Sekitar (JAS) menegaskan, projek rata tanah bagi pembinaan kilang tambahan Infineon Technologies (Kulim) Sdn Bhd berhampiran Taman Kulim Utama Fasa 1 tidak memerlukan laporan kajian Impak Alam Sekitar (IEA).


Jurucakapnya, Mohamad Fitri Said berkata, operasi kilang berkenaan juga tidak tertakluk dengan sebarang laporan EIA.


"Bagi kerja tanah-tanah di lot dimaksudkan tak memerlukan EIA, begitu juga dengan operasi kilang yang tidak tertakluk dengan EIA.

"EIA yang kita guna sekarang ini ialah Perintah Kualiti Alam Sekeliling dan Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling 2015," katanya dalam Majlis Penerangan dan Dialog bersama Penduduk Kulim Utama Fasa 1 di KHTP Business Centre, hari ini.


Majlis berkenaan dihadiri 15 agensi kerajaan terlibat termasuk pihak kilang Infineon.


Beliau berkata, aktiviti-aktiviti kilang memerlukan EIA antaranya industri jenis kimia, simen, kapur, petro kimia dan limbungan kapal.


Penjelasan itu bagaimanapun 'dipatahkan' wakil penduduk yang membangkitkan isu bahan kimia digunakan Infineon bagi penghasilan produk mereka.


JAS kemudian memaklumkan kilang tersebut terletak di bawah industri eletronik namun dalam masa sama mengakui ia menggunakan bahan kimia.


Isu pembinaan kilang tambahan Infineon di zon penampan semakin diperkatakan apabila penduduk Taman Kulim Utama (PPKU) Fasa 1 menyedari terdapat kerja-kerja pembinaan di kawasan berkenaan pada 1 Julai lalu.


Pembinaan itu amat mengejutkan lebih 3,000 penduduk di situ kerana lokasi kilang dibina begitu hampir dengan mereka.

Dakwa penduduk, pembinaan itu menyebabkan zon penampan kurang dari 500 meter seperti mana digariskan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa.


Pada 8 Julai lalu telah diadakan perbincangan pihak berkuasa tempatan (PBT), Pengurusan Kulim Hi Tech Park (KTPC) serta beberapa agensi termasuk JAS.


Dalam pertemuan itu, JAS memaklumkan EIA belum disediakan bagi pembinaan projek berkenaan.


Dalam pada itu, Infineon mengakui kilang berkenaan menggunakan bahan kimia bagi pembuatan produk mereka namun ia dalam keadaan terkawal dan tidak akan mudah tercemar.


Infineon turut menjelaskan mereka tiada dua tangki gas yang besar sebaliknya hanya mempunyai satu tangki gas dengan jarak lebih 500 meter dari kediaman penduduk.


Pertemuan berkenaan bagaimanapun gagal memberikan jaminan projek akan dihentikan.


Sumber: Sinar Harian


Comments


bottom of page