top of page

Tahap kemajuan RTS Link capai 52 peratus setakat Oktober


Tahap kemajuan RTS Link capai 52 peratus setakat Oktober
Gambar hiasan: Projek RTS

Tahap kemajuan RTS Link capai 52 peratus setakat Oktober

KUALA LUMPUR - Projek pembinaan Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura yang melintasi Selat Johor kini mencapai kemajuan 52 peratus siap dan berjalan mengikut jadual ditetapkan.


Ketua Pegawai Eksekutif Mass Rapid Transit Corporation (MRT Corp), Datuk Mohd Zarif Hashim berkata, projek nasional itu juga kini memasuki fasa kemuncak apabila aktiviti pembinaan secara menyeluruh berada pada tahap maksimum hingga Jun tahun depan.


Beliau berkata, pembinaan menyeluruh itu antara lain melibatkan struktur depot, jejambat menghubung depot dan stesen, platform serta Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ).


"Projek ini memasuki fasa puncak pembinaannya bermula bulan ini, dengan setiap inci tanah digunakan akan ada pembinaan. Jadi, kami mohon supaya pengguna kereta di Johor Bharu khususnya yang melalui Jalan Tun Abdul Razak berdekatan JB Sentral tidak meletakkan kereta atau menunggu penumpang sepanjang laluan tersebut kerana ia akan menyebabkan kesesakan.


"Pihak MRT Corp juga mengadakan perbincangan dengan Majlis Bandaraya Johor Bharu (MBJB), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk memastikan aliran trafik di laluan tersebut sentiasa lancar,” katanya kepada Bernama pada Rabu.


Mengenai kompleks ICQ yang menempatkan Jabatan Kastam dan Jabatan Imigresen Malaysia, Mohd Zarif berkata, pembinaannya berjalan mengikut jadual dan akan siap sepenuhnya menjelang September 2026, sebelum operasinya dibuka pada Disember tahun sama.


Beliau berkata, kerja-kerja menanam cerucuk bagi struktur bangunan empat tingkat ICQ telah selesai, manakala kerja pembinaan bangunannya pula akan dijalankan dalam beberapa bulan akan datang.


"Untuk tujuan itu, satu tender terbuka dijalankan bagi mencari kontraktor berwibawa dan ia telah melalui beberapa lapisan penilaian daripada peringkat Lembaga Pengarah hingga ke Jawatankuasa Perolehan Sehenti (OSPC) yang diadakan di peringkat kerajaan.


"Keputusan muktamad telah dibuat di peringkat OSPC apabila ahlinya mengambil masa untuk berbincang dan menilai tender dikemukakan, bukan sekadar memberi kelulusan muktamad semata-mata,” katanya sambil menambah penilaian dibuat mengambil kira pelbagai faktor seperti kemampuan kewangan, pengurusan risiko projek dan pengalaman terdahulu selain mengemukakan cadangan pembinaan alternatif.


Sementara itu, Mohd Zarif berkata, apabila RTS Link siap, pergerakan penumpang antara sempadan Johor dan Singapura dapat dipendekkan kepada 15 minit berbanding sejam atau dua jam bagi yang menggunakan laluan biasa di Tambak Johor.


"Kita percaya dengan menggunakan sistem pintu pagar elektronik untuk kawalan pasport di laluan masuk, penumpang hanya mengambil masa 15 minit untuk sampai ke destinasi (Woodlands, Singapura) dan sebaliknya.


"Jika ini dapat direalisasikan, ia mampu menjadi pengubah keadaan yang merancakkan lagi pembangunan ekonomi koridor di selatan negara khususnya di Johor,” katanya dan turut menambah pembangunan hartanah bercampur turut dibina bersebelahan stesen RTS Link Bukit Chagar.


Bagi memastikan pembinaan RTS Link tidak memberi impak kepada alam sekitar, Mohd Zarif berkata, pihaknya melantik juruaudit alam sekitar pihak ketiga yang memantau projek itu dari semasa ke semasa supaya mematuhi laporan penilaian impak alam sekitar (EIA).


"Bagi melindungi ekosistem marin di Selat Johor, langkah sewajarnya juga diambil antaranya dengan pemasangan tirai kelodak bagi mengelakkan hakisan di dasar laut,” katanya.


RTS Link adalah rangkaian rel sepanjang empat kilometer yang menghubungkan Bukit Chagar, Stesen Johor Bahru dan Woodlands di Singapura.


Projek RTS Link yang dijadual siap menjelang Disember 2026, dijangka mampu menarik 35 peratus daripada 350,000 orang yang bergerak melalui Tambak Johor setiap hari.


Sumber: Sinar Harian


Tahap kemajuan RTS Link capai 52 peratus setakat Oktober


Comments


bottom of page