top of page

Syarikat tempatan menang sebahagian besar projek sokongan ECRL


Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) - Foto ihsan MRL

KUALA LUMPUR: Syarikat Malaysia meraih manfaat besar daripada projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) apabila memenangi sebahagian besar kerja pembinaan infrastruktur dan bangunan yang menyokong keperluan projek mega negara itu.


TA Securities menerusi satu nota penyelidikan berkata, antara projek terbabit ialah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan baharu, yang bernilai kira-kira RM2 bilion.


Terletak bersebelahan pembangunan bercampur Aerospace City di kawasan seluas 5,042 hektar, lapangan terbang ini direka sebagai hab logistik dengan kapasiti 250,000 penumpang setahun.


Katanya, ia bertujuan meningkatkan pergerakan kargo udara dan penumpang antara China dan Kuantan, memanfaatkan lokasinya yang berdekatan dengan Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP).


Ia berkata, lapangan terbang ini juga dijangka melengkapkan ECRL yang hampir siap, memberikan impak positif kepada Keluaran Dalam Negera Kasar (KDNK) Pahang.


"Gading Group Bhd, sebuah syarikat tempatan yang mempunyai portfolio perniagaan meliputi industri aeroangkasa, marin, pertahanan tentera, dan teknologi dilantik sebagai pemaju projek dengan penyelesaian dijadualkan pada 2026.


"Proses tender terbuka sedang dijalankan dan keputusan dijangka diumumkan pada separuh pertama tahun 2025.


"Kami percaya syarikat seperti Gamuda Bhd, IJM Corporation Bhd, WCT Holdings Bhd dan Citaglobal Bhd juga berpotensi mendapat manfaat berdasarkan rekod prestasi mereka dalam pembinaan infrastruktur," katanya dalam nota yang disediakan oleh penganalisis, Shazma Juliana Abu Bakar dan Raymond Ng.


Sementara itu, TA Securities berkata, DRB-HICOM Bhd akan mendapat manfaat daripada inisiatif Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang mana peningkatan infrastruktur meningkatkan operasi pembuatan dan pengedaran syarikat itu.


Katanya, selain itu penekanan ECER terhadap pelaburan langsung asing membuka peluang kerjasama dengan syarikat automotif global.


Ia berkata, Taman Automotif Pahang (PAP), yang direka sebagai Taman Industri Automotif Hijau, dijangka menarik pelaburan dalam pembuatan kenderaan elektrik (EV).


"PAP kini menempatkan syarikat utama seperti ZF Chassis Systems dan Yanfeng, yang membekalkan komponen untuk barisan pemasangan Mercedes DRB.


"Bagi Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) Fasa 3, ECER sedang giat menarik pelabur, meningkatkan 'throughput' Pelabuhan Kuantan. Pelabuhan ini mempunyai kapasiti 45 juta tan kargo setahun dengan kadar penggunaan antara 50-55 peratus.


"Dengan pertumbuhan aktiviti industri, IJM yang memegang kepentingan dalam MCKIP dan Pelabuhan Kuantan, dijangka mendapat manfaat daripada perdagangan yang meningkat.


TA Securities berkata, ECRL, apabila siap, bakal meningkatkan sambungan antara koridor pembangunan utama di Malaysia.


"Namun, kami menjangkakan impak kepada Westports adalah terhad kerana pendapatannya lebih bergantung kepada pengendalian kargo kapal.


"Walaupun begitu, kargo rel yang tiba di Pelabuhan Klang masih boleh memberikan pendapatan tambahan melalui penyimpanan di kawasan kontena," katanya.


TA Securities turut menjangkakan Muhibah Engineering, Sime, LBS dan QL Resources masing-masing akan mendapat manfaat daripada pertumbuhan industri yang diceburi mereka.


Comments


bottom of page