TENOM: Gamuda Bhd (Gamuda) bersama rakan usahasamanya (JV), Conlay Construction Sdn Bhd (Conlay) dilantik sebagai Kontraktor Pembangunan Keseluruhan (TDC) bagi membangunkan Projek Hidroelektrik Ulu Padas 187.5MW bernilai RM3.048 bilion di Tenom dan Sipitang, Sabah.
Gamuda dalam satu kenyataan, berkata Surat Anugerah daripada Upper Padas Power Sdn Bhd (UPPSB) merangkumi reka bentuk, pembinaan, ujian dan pentauliahan projek berkenaan.
"Surat Anugerah ini merangkumi kerja-kerja membabitkan empangan konkrit yang dipadatkan dengan roller; janakuasa utama dan sekunder; sistem pengaliran air; akses projek; dan kemudahan kekal lain termasuk stesen suis 275kV, talian penghantaran 33kV, bengkel, stor dan kemudahan operasi serta perkampungan kediaman," katanya.
Menurut Gamuda, projek TDC itu akan dilaksanakan melalui JV tidak berdaftar membabitkan Gamuda dan Conlay yang masing-masing memiliki pegangan 75 peratus dan 25 peratus.
"Kerja dijangka dimulakan serta-merta dengan Tarikh Operasi Komersial yang dijadualkan pada atau sebelum 31 Disember 2030.
"Apabila siap kelak, projek ini akan menyumbang purata 1,052GWh tenaga bersih setiap tahun, meningkatkan kapasiti tenaga yang diperlukan di Sabah sebanyak kira-kira 15 peratus serta menggandakan campuran tenaga boleh diperbaharui untuk menyokong matlamat negeri ini mencapai kira-kira 35 peratus bahagian tenaga boleh diperbaharui menjelang 2035," katanya.
Pada 7 Disember tahun lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor merasmikan majlis pecah tanah projek berkenaan di Tenom, Sabah.
Sumber: Berita Harian
Opmerkingen