KOTA KINABALU 24 Okt - Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) dan Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd (Huawei Malaysia) mengumumkan kerjasama untuk memanfaatkan teknologi terkini bagi meningkatkan sektor tenaga tempatan dan mempercepat pertumbuhan tenaga boleh diperbaharui.
Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai semasa Persidangan CAFEO Ke-42 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di Kota Kinabalu itu, merangkumi rancangan untuk membangunkan bakat tempatan dalam teknologi mikrogrid, menubuhkan Pusat Inovasi Grid Forming yang canggih (JIC) dan meneroka potensi projek mikrogrid untuk elektrifikasi luar bandar.
Di bawah MoU tersebut, Huawei Malaysia akan menyediakan latihan teknikal dan menjalankan bengkel, sementara ECoS akan mengenal pasti belia Sabah untuk latihan khusus dalam pengurusan tenaga dan aplikasi teknologi mikrogrid.
Selain itu, Huawei Malaysia merancang untuk menguji teknologi grid forming untuk mengatasi isu ketidakpastian tenaga boleh diperbaharui seperti solar dan angin, termasuk menyediakan peralatan untuk menyokong pelaksanaannya.
Pada masa yang sama, ECoS akan merangka garis panduan dan standard peraturan yang diperlukan.
Ketua Pegawai Eksekutif ECoS, Datuk Ir Abdul Nasser Abdul Wahid berkata, kerjasama dengan Huawei Malaysia menandakan pencapaian penting dalam perjalanan syarikatnya menuju penyelesaian tenaga yang lestari dan inovatif untuk Sabah, termasuk kawasan luar bandar.
"Usaha bersama ini akan membekalkan belia Sabah dengan kemahiran teknologi dan meningkatkan pembangunan komuniti di Sabah," katanya.
Dalam pada itu, Naib Presiden Kumpulan Perniagaan Kuasa Digital Huawei Malaysia, Chong Chern Peng menyifatkan, MoU tersebut menandakan permulaan perjalanan transformasi menuju masa depan tenaga yang lebih bersih dan tahan lasak untuk Sabah.
Majlis tandatangan terbabit disaksikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif serta ahli Suruhanjaya ECoS, Datuk Nor Asiah Mohd Yusof dan Datuk Dr Lawrence Thien Shin Hing.
Sumber: Dagang News
Comentarios