top of page

Surau guna kaedah IBS berasaskan kenaf


WEE Jeck Seng (tengah) melihat binaan yang diperbuat daripada pokok selepas melakukan majlis pecah tanah Surau An-Nur di Kampung Melayu Bukit Panjang, Pekan Nanas, di Pontian.

PONTIAN: Surau An-Nur, Kampung Melayu Bukit Panjang di Pekan Nanas di sini menjadi surau pertama di negara ini yang dibina menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS) berasaskan produk kenaf.


Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Wee Jeck Seng berkata, surau yang dibina dengan kos RM370,000 akan mengambil masa pembinaan antara enam hingga sembilan bulan.


Katanya, projek itu bukan sahaja menjimatkan masa dan mengurangkan kos, malah dapat mengelak berlakunya pembaziran bahan-bahan binaan yang digunakan selain menjaga alam sekitar.


“Surau lama sebelum ini berusia lebih daripada 30 tahun didapati tidak selamat digunakan oleh kira-kira 100 jemaah di kampung tersebut bagi menjalankan aktiviti keagamaan.


“Dianggarkan terdapat 60 buah rumah di Kampung Melayu Bukit Panjang termasuk mereka yang baru berpindah balik ke kampung setelah bersara dan sebagainya,” katanya pada majlis pecah tanah Surau An-Nur di sini, hari ini.


Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai, Datuk Jefridin Atan.


Tambah Jeck Seng yang juga Ahli Parlimen Tanjung Piai, penggunaan teknologi IBS dilihat menyumbang kepada penggunaan teknologi hijau dan mesra alam.


“Inovasi ini mampu membawa Kenaf Building System (KBS) ke tahap yang lebih efisien dalam melestarikan penggunaan bahan binaannya sebagai membuktikan kebolehupayaan sistem ini,” jelasnya.


Menurutnya, terdapat juga rancangan projek perumahan jangka panjang yang menggunakan teknologi IBS Tasblock berasaskan kenaf kini di peringkat akhir perbincangan.


Jelas beliau, dengan perlaksnaan projek perumahan menggunakan bahan kenaf akan dapat melonjakkan industri penanaman kenaf di negara ini serta menarik minat peladang untuk mengusahakannya.


“Teknologi IBS berasaskan kenaf mampu menghasilkan produk berkualiti serta menjimatkan tenaga dan kos pembinaan antara 25 hingga 30 peratus, berbanding kaedah konvensional,” katanya.


 
 
 

Comentários


EvolusiBina evolusi bina CIDB JKR Tender Projek ccd cpd cep point kontraktor

Let's Collaborate!

Want to get in touch? We'd love to hear from you.

Copyright © 2025 EvolusiBina. All rights reserved.

bottom of page