KUALA LUMPUR: Anak syarikat milik penuh Sunway Construction Group Bhd (SunCon), Sunway Construction Sdn Bhd (SCSB) menerima RM265 juta bagi tambahan kerja-kerja penambahbaikan penyewa (TIW) berkaitan dengan arahan perubahan kerja (VO) berdasarkan kontrak yang diberikan oleh Yellowwood Properties Sdn Bhd.
Jumlah nilai keseluruhan yang diterima sehingga kini adalah RM347 juta, termasuk TIW yang diterima oleh SCSB pada bulan lalu, menurut SunCon.
Kontrak itu adalah VO di bawah perkhidmatan kontraktor am bagi Projek JHB1X0 untuk melaksanakan kerja-kerja untuk pusat data yang terletak di Taman Teknologi Sedenak (STeP) di Johor.
"Susulan VO yang dikeluarkan Yellowwood di bawah kontrak ini, jumlah nilai kontrak kini telah meningkat daripada jumlah nilai kontrak asal kira-kira RM3.2 bilion kepada RM3.5 bilion," jelas SunCon dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia.
Syarikat itu menjelaskan, tarikh siap kerja-kerja itu kekal tidak berubah, dengan semua fasa bagi notis untuk meneruskan (NTP) kerja dan TIW dijadualkan siap pada Februari 2026.
"Kerja-kerja itu dijangka menyumbang secara positif kepada perolehan dan keuntungan syarikat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 dan seterusnya," menurut SunCon.
Sumber: Berita Harian
Commenti