top of page

Sudah 4 tahun, rumah PPR belum siap



Melaka: Ibarat menanti buah yang tidak gugur. Itulah yang dirasai 150 pemohon rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Klebang, di sini apabila kediaman dibeli sejak empat tahun lalu masih tidak menunjukkan tanda akan siap dalam tempoh terdekat.


Meskipun mengikut perjanjian awal projek berkenaan akan siap pada 2018, namun sehingga kini tiada khabar daripada pihak bertanggungjawab mengenai status projek itu yang dilihat seperti 'tidak berusik' sejak tahun lalu.


Hanya dinding bangunan separuh siap itu sahaja dicat, seolah-olah bagi mengaburi mata pembeli.


Pembeli, Sarimah Khairudin, 52 berkata, penantiannya sejak projek itu dibina pada 2016 seperti tidak berbaloi kerana sehingga kini dia masih menyewa rumah bersama dua anaknya yang masih bersekolah.


Katanya, kehidupannya yang penuh kesulitan turut menyukarkannya mencari kediaman lain untuk dibeli, apatah lagi selepas diberhentikan kerja tahun lalu dan hanya mengharapkan wang bulanan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) RM500 sebulan dan bantuan RM300 sebulan daripada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).


"Saya orang susah, anak pula masih bersekolah. Kalau saya orang senang, saya tidak mohon rumah PPR ini.


"Pernah saya menghubungi pegawai di Lembaga Perumahan Melaka (LPM) dan mereka menyatakan projek itu dalam proses pembinaan. Namun sehingga sekarang saya lihat projek itu masih dalam keadaan sama, ia sangat mengecewakan," katanya ketika ditemui di tapak projek itu, semalam.


Projek PPR Klebang yang mempunyai 240 unit kediaman itu dibangunkan oleh Jabatan Perumahan Negara, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mula dibina pada 15 Februari 2016 dan sepatutnya siap pada 14 Oktober 2018.


Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Klebang Besar, Datuk Mohd Yusoff Abu Hasan berkata, mereka berharap LPM dapat memberi maklum balas segera bagi melegakan hati pembeli yang terdiri daripada golongan kurang berkemampuan.


Katanya, pihaknya juga mendesak pihak berkenaan supaya sentiasa mengambil berat terhadap projek itu.


"Wabak Covid-19 bukan alasan projek itu tertangguh kerana ia (projek) sudah dibina pada 2016 dan sepatutnya siap serta boleh didiami pada 2018.


"Pemaju atau agensi pelaksana perlu bertanggungjawab atas kelewatan ini sehingga menyebabkan pembeli dibelenggu masalah untuk menyewa rumah," katanya.


Sumber: Harian Metro


Kommentare


bottom of page