top of page

Struktur Terowong Bentong 2 tidak terjejas, masih kukuh


Struktur Terowong Bentong 2 tidak terjejas, masih kukuh
Gambar hiasan: LALUAN di Kilometer 61 KLK dibuka semula selepas proses pembaikan lubang akibat mendapan siap malam semalam.

Struktur Terowong Bentong 2 tidak terjejas, masih kukuh

BENTONG – Mendapan tanah yang berlaku di Kilometer 61.1 Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) di sini tidak menjejaskan struktur pembinaan terowong Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).


Menurut kenyataan Malaysia Rail Link Sdn. Bhd (MRL), Terowong Bentong 2 yang berada di bawah mendapan tanah yang membentuk lubang itu tidak terjejas dengan struktur terowong berkenaan masih kukuh.


“Kami ingin menjelaskan bahawa pergerakan tanah di atas terowong yang berlaku pada 25 Julai lalu adalah insiden terpencil yang telah diperbetulkan.


“MRL dengan kerjasama China Communication Construction Company Ltd (CCCC-ECRL) akan melaksanakan siasatan terperinci dan mendalam terhadap kejadian mendapan tanah seterusnya mengemukakan hasil penemuan dan cadangan,”katanya di sini hari ini.


Tambahnya pihak MRL juga akan sentiasa berhubung dan bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan dalam memastikan keselamatan semua pihak.


Menurutnya struktur terowong berkenaan adalah selamat dan kerja-kerja pembinaan terowong sepanjang kira-kira 1.4 kilometer itu akan diteruskan.


“Kami akan terus memberikan keutamaan kepada aspek keselamatan dan mengenalpasti potensi bahaya di kawasan tapak pembinaan,”katanya.


Semalam Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, mendapan tanah yang berlaku di KLK hingga menyebabkan jalan berlubang adalah disebabkan oleh pembinaan terowong ECRL.


Beliau dilaporkan berkata, punca itu dikenal pasti selepas pihak berkaitan membuat siasatan dan pemantauan rapi sebaik menerima laporan mengenai kejadian itu.


Kerja-kerja pembaikan laluan berkenaan telah dilakukan dan laluan berkenaan mula dibuka malam semalam.


Sumber: Kosmo!


Struktur Terowong Bentong 2 tidak terjejas, masih kukuh


Comments


bottom of page