top of page

Struktur kos ambil pekerja asing dibincang dengan negara sumber


Foto hiasan - FAIL NSTP/AIZUDDIN SAAD

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) akan berunding dengan negara sumber bagi memperinci struktur kos pengambilan tenaga kerja yang akan bekerja di Malaysia


Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, berkata dapatan terbabit akan dikongsi dengan semua pemegang taruh merangkumi agensi kerajaan di seluruh negara, majikan, kesatuan sekerja, agensi pekerjaan swasta dan pelbagai badan berkaitan.


Katanya, langkah itu selaras komitmen KESUMA di bawah Pelan Tindakan Kebangsaan Mengenai Buruh Paksa (NAPFL) 2021-2025 yang menerapkan konsep ketelusan dan sifar kos kepada pekerja dalam aspek pengambilan pekerja asing.


"Pada masa sama, KESUMA akan meneliti kos pengambilan dipersetujui dengan negara sumber yang akan diumumkan kepada majikan dan agensi pekerjaan swasta untuk meningkatkan pemahaman semua pihak.


"Langkah ini akan dikaji kerana ia penting untuk memberi gambaran jelas mengenai kos sebenar dalam pengambilan pekerja asing, sekali gus membantu majikan merancang dengan lebih berkesan dan telus.


"Bagi calon pekerja asing, kementerian akan melaksanakan konsep prapenggajian yang memberi pendedahan awal mengenai jenis pekerjaan dan kos di Malaysia.


"Ini supaya mereka memahami syarat kerja dan kos perlu ditanggung dengan jelas, mengurangkan risiko salah faham atau kekecewaan kelak.


"Kementerian turut menggalakkan majikan mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing dengan beralih kepada mekanisasi atau automasi.


"Ia bukan sahaja meningkatkan daya saing sektor perniagaan dalam jangka panjang tetapi juga memodenkan proses kerja, menjadikannya lebih efisien dan produktif," katanya pada sesi soal jawab Dewan Rakyat, hari ini.


Beliau menjawab pertanyaan Riduan Rubin (Bebas-Tenom) mengenai cadangan menetapkan harga siling bagi pengambilan pekerja asing di Sabah memandangkan ia membebankan dan langkah bagi mengurangkan impak kos pengambilan pekerja asing.


Menjawab soalan tambahan Riduan dan Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib (PN-Maran), Abdul Rahman berkata, kerajaan sedang merangka sistem lebih baik untuk membendung sindiket pengambilan pekerja asing.


תגובות


bottom of page