
KUALA LUMPUR: Straits Energy Resources Bhd menerusi anak syarikat tidak langsung 70 peratusnya, Straits CommNet Solutions Sdn Bhd (SCS) memperoleh kontrak daripada Tianu Sdn Bhd (Tianu) untuk pemasangan kabel bawah tanah dan aksesori berjumlah RM27.741 juta.
SCS menerima Surat Anugerah (LOA) daripada Tianu bertarikh 10 Oktober 2023 untuk pemasangan, pengujian dan pentauliahan kabel bawah tanah dan aksesori aluminium XLPE bagi pembangunan aset untuk Tenaga Nasional Bhd (TNB).
Tempoh kontrak adalah selama satu tahun dengan pilihan untuk dilanjutkan selama satu tahun lagi tertakluk kepada prestasi yang memuaskan.
Tianu mempunyai pilihan untuk melanjutkan satu tahun lagi tertakluk kepada prestasi memuaskan SCS.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Straits Energy berkata, Tianu telah dianugerahkan projek itu oleh TNB dan Tianu telah bergabung tenaga di bawah kerjasama pintar dengan SCS untuk menyampaikan projek berkenaan.
Katanya, Tianu dan SCS memulakan kerjasama pintar untuk menumpukan pada pemasangan, ujian dan pentauliahan kabel bawah tanah dan aksesori untuk rangkaian pengedaran.
"Kerjasama strategik ini mewakili gabungan pengalaman luas Tianu dalam teknologi kabel dan kecekapan SCS dalam penyelesaian rangkaian.
"Matlamatnya adalah untuk merevolusikan pemasangan, ujian dan pentauliahan kabel bawah tanah, memastikan prestasi optimum, kebolehpercayaan dan kemampanan dalam rangkaian pengedaran," katanya.
Straits Energy berkata, penerimaan LOA itu adalah selaras dengan strategi syarikat untuk mengembangkan rangkaian perniagaan, meningkatkan aliran pendapatan dan untuk meneruskan kerjasama strategik dengan rakan kongsi perniagaan untuk memupuk masa depan yang mampan.
Ia berkata, LOA dijangka menyumbang secara positif terhadap pendapatan masa hadapan, pendapatan sesaham, aset bersih sesaham dan penggearan Kumpulan Straits bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 dan tahun kewangan selepas itu untuk tempoh LOA.
Katanya, LOA itu juga tidak akan mempunyai sebarang kesan ke atas modal saham dan pegangan saham pemegang saham utama syarikat.
Sumber: Berita Harian
Straits Energy dapat kontrak pasang kabel bawah tanah
Comments