top of page

Stadium Mini Bagan Serai bakal berwajah baharu


BAGAN SERAI - Isu kontroversi pembinaan Stadium Mini Bagan Serai tidak cukup lorong balapan sebelum ini akhirnya diselesaikan apabila stadium itu kini dibaik pulih dan naik taraf dengan nilai keseluruhan projek RM2.3 juta.


Exco Kemudahan Awam dan Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan Perak, Abdul Yunus Jamhari berkata, perlaksanaan projek itu mula dijalankan kontraktor dilantik, Affizal Resources dari Temerloh, Pahang sejak 18 Februari lalu dan dijangka siap dalam tempoh 48 minggu.


Menurutnya, antara skop kerja membaik pulih dan menaik taraf stadium itu adalah membuat trek balapan baharu daripada enam lorong kepada lapan lorong, menaik taraf padang bola sepak, membaiki astaka dan membekalkan peralatan sukan untuk kemudahan pengguna stadium itu.


"Sebelum ini, pembinaan Stadium Mini Bagan Serai mencetuskan kontroversi apabila lorong trek balapan kekurangan dua lorong di samping keadaan permukaan padang bola sepak tidak rata dan membahayakan keselamatan pengguna.


"Keadaan itu menimbulkan kesukaran kepada masyarakat untuk melaksanakan acara sukan trek dan olahraga serta pertandingan bola sepak rasmi di venue stadium itu terutama sekolah-sekolah daerah Kerian.


"Kini dengan Stadium Mini Bagan Serai berwajah baharu dengan pertambahan beberapa kemudahan sukan lain, saya harap penyediaan kemudahan awam ini akan memberi manfaat besar kepada penduduk Kerian," katanya sewaktu mengadakan sesi lawatan tapak di Stadium Mini Bagan Serai bersama agensi kerajaan berkaitan di sini hari ini.


Turut hadir Pegawai Daerah Kerian, Mohd Sabli Bakri.


Trek balapan di Stadium Mini Bagan Serai yang sebelum ini kekurangan dua lorong bakal dibaik pulih mengikut spesifikasi ditetapkan IAAF.


Abdul Yunus berkata, kerja membaik pulih trek balapan itu juga dijamin mengikut spesifikasi ditetapkan Persekutuan Atlet Amatur Antarabangsa(IAAF) dan dipantau Kementerian Belia dan Sukan(KBS) sepanjang perlaksanaannya.


Selain itu, beliau menegaskan kontraktor dilantik bakal menyediakan tambahan venue acara olahraga seperti trek lompat jauh, lompat kijang, lontar peluru, lontar lembing, lontar cakera dan sebagainya.


"Pada masa sama, Stadium Mini Bagan Serai juga bakal menjadi satu kemudahan mesra Orang Kelainan Upaya(OKU) apabila kemudahan untuk golongan itu turut disediakan.


"Apabila stadium itu siap dibaik pulih dan dinaik taraf, fasiliti sukan terdapat di sini akan sentiasa dibuka untuk kegunaan awam kerana Kerajaan Perak berhasrat untuk merakyatkan kemudahan awam ini untuk semua," katanya.


Sumber: Sinar Harian


Comments


bottom of page