top of page

Stadium Hoki Nasional siap dibaiki


KUALA LUMPUR: Stadium Hoki Nasional di Bukit Jalil berwajah baru dengan proses pemasangan turf diselesaikan dua minggu lebih awal sekali gus membolehkan skuad kebangsaan hoki negara mencubanya dalam persiapan menghadapi  Final Siri Hoki dari 26 April sehingga 4 Mei ini. 


Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang membuat pemeriksaan terhadap dua padang termasuk padang latihan itu hari ini berkata, beliau berpuas hati dengan kerja pemasangan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) itu. 


"MRCB sudah bersetuju membaik pulih padang tanpa membabitkan sebarang kos perbelanjaan dan hari ini padang dibaiki sepenuhnya dua minggu lebih awal," katanya kepada media, di sini, hari ini. 


Hujung tahun lalu, timbul isu kerosakan di padang hoki Stadium Hoki Nasional biarpun baharu sahaja melalui transformasi susulan penganjuran Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 namun MRCB berjanji membaiki padang terbabit berikutan masih dalam tempoh jaminan pembekal. 


Syed Saddiq berkata, padang itu menggunakan turf terbaharu diperakui Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH). 


"Kalau boleh kita mahu pemain kita memulakan sesi latihan secepat mungkin dan berdasarkan apa yang sudah dilakukan, kita mempunyai lebih kurang sebulan sebelum Siri Dunia," katanya. 


Untuk rekod, padang di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil sudah ditutup sejak 11 Februari lalu dan menjalani proses baik pulih. 


Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Nik Razeen Adam Daud berkata, kedua-dua padang menggunakan turf jenis polyethylene itu diiktiraf sebagai jenis tertinggi dalam kategorinya dan diiktiraf FIH Global Elite. 


"Buat pengetahuan semua, Malaysia adalah negara pertama menggunakan turf buatan Belanda ini di dunia," katanya. 



Comments


bottom of page