PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua individu disyaki membuat sejumlah tuntutan palsu berkaitan sebuah projek bangunan 41 tingkat di ibu negara bernilai RM389 juta.
SPRM dalam kenyataan hari ini, memaklumkan individu itu seorang Ketua Pegawai Operasi (COO) syarikat pembinaan dan konsultan syarikat pembinaan warga United Kingdom masing-masing berusia lingkungan 50-an.
Sumber berkata, kedua-dua suspek ditahan kira-kira jam 3 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di sini.
Katanya, kedua-dua suspek dipercayai bersubahat membantu syarikat pembinaan itu mengemukakan sejumlah tuntutan palsu kepada sebuah syarikat pelaburan.
Susulan itu, Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan kedua-dua suspek direman enam hari bermula hari ini sehingga 16 Januari ini susulan permohonan SPRM di Mahkamah Majistret.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim, mengesahkan penahanan dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Sumber: Berita Harian
Komentáře