top of page

Solarvest dapat kontrak RM154.4 juta


Solarvest Holdings Bhd

KUALA LUMPUR: Atlantic Blue Sdn Bhd (ABSB), anak syarikat milik penuh Solarvest Holdings Bhd memperoleh tiga kontrak kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) dengan nilai agregat RM154.4 juta.


Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, pakar tenaga bersih itu berkata kontrak yang membabitkan TEJA 1 Sdn Bhd, Kellie Energy Sdn Bhd dan TEJA 2 Sdn Bhd merangkumi kerja-kerja EPCC untuk membangunkan loji fotovolta solar berskala besar (LSS) di bawah skim solar 4 berskala besar (LSS4).


Sebaik siap, loji-loji berkenaan akan mempunyai gabungan kapasiti sebanyak 40 megawatt (MW).


Solarvest berkata, projek-projek itu adalah loji LSS 15 MW di Kampar, Perak oleh TEJA 1 dan loji LSS 15 MW di Kinta, Perak oleh Kellie Energy.


Kedua-dua loji berkenaan dijangka mencapai operasi komersial menjelang akhir 2022, manakala loji LSS 10 MW di Kampar, Perak oleh TEJA 2 Sdn Bhd akan beroperasi secara komersial menjelang pertengahan 2023.


Dalam kenyataan berasingan, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Solarvest, Davis Chong Chun Shiong, berkata dengan kontrak baharu itu, tempahan belum dibil kumpulan itu kini berada pada satu lagi tahap tertinggi sepanjang masa iaitu kira-kira RM742 juta.


"Sebahagian besar daripada projek-projek itu akan teriktiraf menjelang akhir tahun kalendar 2024, sekali gus memberikan keterlihatan pendapatan yang menggalakkan untuk kumpulan.


"Secara keseluruhannya, kami percaya keputusan tender yang positif mencerminkan rekod prestasi kami dalam menyediakan penyelesaian termaju," katanya.


Beliau berkata, antara tonggak pertumbuhan utama dalam Pelan Hala Tuju Strategik Lima Tahun kumpulan adalah untuk mengekalkan kedudukan peneraju pasaran sebagai penyedia penyelesaian tenaga bersih dalam ruang EPCC.


"Memandangkan permintaan bagi cadangan LSS5 sedia untuk dimulakan pada suku ini, perhatian kami kini tertumpu pada membangunkan saluran yang kukuh di bawah skim baharu itu.


"Selain itu, kami juga melihat LSS5 sebagai peluang yang baik untuk membina portfolio aset tenaga boleh diperbaharui sambil berusaha ke arah matlamat mencatatkan 30 peratus pendapatan berulang, sejajar dengan tonggak kedua pertumbuhan di bawah rancangan lima tahun kami," tambahnya. -BERNAMA


Sumber: Berita Harian

Comments


bottom of page