KUALA LUMPUR: Cypark Resources Bhd (Cypark) menjangkakan kilang Pemulihan dan Rawatan Lanjutan Modular Sisa Pepejal (SMART) bagi sisa pepejal-kepada-tenaga (WTE) di Ladang Tanah Merah, Negeri Sembilan akan memberi sumbangan pendapatan sehingga RM80 juta setahun selepas kemudahan itu beroperasi.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cypark, Datuk Daud Ahmad, berkata bahagian RE kumpulan itu secara aktif memperluaskan projek WTE memandangkan kilang SMART WTE pertamanya akan siap dibina, selain memanfaatkan kepakarannya dalam teknologi hijau bagi meneroka peluang dalam industri minyak sawit.
Katanya, Cypark juga sedang menunggu keputusan pengumuman dua tender WTE yang dibinanya di Johor dan Melaka.
"Syarikat juga meneroka peluang untuk membekalkan RE secara langsung kepada pelanggan melalui inisiatif akses rakan setara (P2P) dan pihak ketiga, dengan sasaran untuk meningkatkan kapasiti RE kepada melebihi 400 megawatt (MW) menjelang 2023.
"Projek Projek Solar Berskala Besar Pusingan Ketiga (LSS3) berkapasiti 100MWac di Merchang, Terengganu sedang dilaksanakan dan apabila siap sepenuhnya tahun depan, ia dijangka membolehkan Cypark mencapai sasaran kapasiti yang ditetapkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Baru-baru ini, Cypark meraih projek di bawah Program Skim Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) edisi ketiga (NEM 3.0) bagi sebuah universiti awam di Kuantan, Pahang.
Mengulas lanjut, Daud berkata, Cypark juga akan terus mengembangkan produk dan perkhidmatan biojisim dan biogas di bawah teknologi hijau dengan mengharapkan sumbangan signifikan sektor berkenaan apabila permintaan dalam dan luar negara bagi sisa akhir efluen kelapa sawit (POME) meningkat.
"Syarikat menyasar untuk membina 10 kilang biomas lagi dalam beberapa tahun akan datang," katanya.
Sementara itu, penyedia penyelesaian tenaga boleh diperbaharui (RE) dan penyelesaian kejuruteraan alam sekitar itu meraih pendapatan lebih tinggi kepada RM65.92 juta pada suku ketiga, meningkat 18.4 peratus berbanding RM55.68 juta yang diraih pada suku sama tahun lalu.
Prestasi kewangan lebih baik itu dipacu terutamanya oleh peningkatan kemajuan dalam projek LSS yang sedang dilaksanakan dan projek WTE rintis di Ladang Tanah Merah.
Pada suku dikaji, Cypark meraih keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM16.66 juta, meningkat 3.2 peratus berbanding RM16.14 juta yang dicatatkan pada suku sama tahun lalu.
Berdasarkan segmen, bahagian RE Cypark mencatatkan pendapatan lebih baik, meningkat 13.7 peratus kepada RM56.2 juta, daripada RM49.5 juta tahun sebelumnya terutama disebabkan peningkatan kemajuan dalam kerja-kerja kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bagi projek LSS yang disertainya.
Bahagian WTE pula mencatatkan peningkatan pendapatan ketara kepada RM4.3 juta, melonjak 126.3 peratus berbanding RM1.9 juta yang diraih pada suku ketiga 2020.
Sumber: Berita Harian
Hozzászólások