KUALA LUMPUR: Terdapat beberapa isu yang harus difikirkan jika sistem Smart Tunnel mahu dilaksanakan di negeri Kelantan dan Terengganu.
Pengarah Pejabat Pelestarian Universiti Teknologi Malaysia, Prof Ir Fadhil Mohd Din berkata, isu pertama adalah kekangan dari aspek belanjawan untuk kerajaan pusat, kerana projek seumpama itu akan memakan belanja yang sangat besar.
“Pada tahun 2014 kos pembinaan terowong itu lebih kurang RM6 bilion, sekarang mungkin kosnya jauh lebih besar. “Jika dilaksana di Kelantan dan Terengganu, saya percaya terowong itu akan makan belanja sekitar RM30 bilion,” katanya dalam program Fokus Minggu Depan, pada Ahad.
Jelasnya, dengan kedudukan Kelantan dan Terengganu di kawasan lembah, terowong bawah tanah sesuai dibina, namun ia juga membawa kepada isu lain iaitu keupayaan mengepam air atau pemindahan air yang memerlukan teknologi canggih yang harus diselenggara kerajaan negeri.
Selain itu, isu lain yang akan timbul adalah bagaimana mahu menguruskan sistem takungan banjir seperti yang sudah dilaksanakan di Melaka, Perlis dan Selangor.
Tambahnya lagi, dalam bentuk kerangka kejuruteraan, pelaksanaan sistem takungan banjir seperti yang dilakukan di Belanda mungkin idea terbaik.
“Belanda membina benteng dan empangan yang digunakan apabila berlaku kejadian hujan lebat dan peningkatan air untuk dipindahkan sementara ke kawasan takungan.
“Ini akan membentuk jaringan takungan yang berfungsi semasa banjir atau kemarau,” katanya lagi.
Dr Fadhil berpendapat, masalah banjir di Kelantan mungkin tidak dapat diselesaikan sepenuhnya sekurang-kurangnya untuk tempoh 20 tahun akan datang, namun beliau percaya penggunaan dua sistem iaitu terowong bawah tanah bersama kolam takungan, mampu membantu mengurangkan bebanan untuk mengalirkan air, sekali gus mengurangkan risiko banjir.
Sumber: Astro Awani
Comments