top of page

Skim Bekalan Air Rasau bakal selesai isu gangguan di Selangor


Pelaksanaan projek Skim Bekalan Air Rasau oleh Air Selangor bakal menjadikan Sungai Klang sebagai sumber air mentah baharu kepada pengguna terutamanya di Wilayah Klang.
Pelaksanaan projek Skim Bekalan Air Rasau oleh Air Selangor bakal menjadikan Sungai Klang sebagai sumber air mentah baharu kepada pengguna terutamanya di Wilayah Klang.

Penggunaan air terawat di Malaysia sentiasa meningkat. Negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mempunyai penduduk dianggarkan kira-kira 9 juta orang menggunakan bekalan air yang tinggi bukan sahaja untuk penggunaan domestik malah untuk tujuan komersial, industri dan pelancongan.


Bekalan air yang bersih dan berterusan penting untuk memastikan kebersihan dan tahap keperluan manusia dapat dijaga dengan lebih baik.


Air memainkan peranan penting dalam sektor pertanian dan ekonomi yang merangkumi pembuatan serta perkhidmatan. Selain manusia dan ekonomi yang memerlukan air, kelangsungan hidup alam sekitar juga bergantung sepenuhnya pada air.


Mengambil kira beberapa faktor penting itu, Air Selangor akan menjadikan Sungai Klang sebagai sumber air mentah baharu kepada pengguna terutamanya di Wilayah Klang menerusi projek Skim Bekalan Air Rasau.


Projek Skim Bekalan Air Rasau

Skim Bekalan Air Rasau adalah inisiatif pembinaan loji rawatan air oleh Air Selangor bagi memastikan kelestarian bekalan air yang bersih dan selamat untuk generasi akan datang terutamanya di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.


Projek itu merupakan perancangan jangka masa panjang untuk meningkatkan lagi margin rizab air terutamanya untuk pengguna di kawasan Wilayah Klang dan Petaling.


Pembinaan skim tersebut akan merentasi beberapa lebuh raya utama iaitu Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE), Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Lebuhraya Pantai-Barat (WCE) dan Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE).


Lebih membanggakan apabila Skim Bekalan Air Rasau bakal menjadi skim bekalan air terbesar di Asia Tenggara yang mampu menghasilkan kira-kira 1,400 juta liter sehari (JLH) air terawat.


Sebanyak sembilan kolam perlombongan bijih timah sedia ada dengan keluasan 489 hektar dikenal pasti dan berpotensi sebagai Kolam Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS).


TAPS mempunyai keluasan pelbagai yang berfungsi untuk menyimpan sumber air mentah terutamanya dari Sungai Klang dan sebahagiannya dari Sungai Air Hitam dan Sungai Rasau.


Kolam terbesar adalah berkeluasan sekitar 185 hektar dan terletak di Wilayah Sepang dan Petaling.


Kepentingan pembinaan Skim Bekalan Air Rasau

Sehingga kini, Selangor sering berdepan dengan masalah gangguan bekalan air mentah tidak berjadual kerana insiden pencemaran sungai.


Skim Bekalan Air Rasau yang berperanan menyelesaikan masalah dihadapi rakyat tidak boleh dipandang remeh.


Terdapat beberapa kepentingan pembinaan projek tersebut antaranya, menjamin bekalan air berterusan ketika insiden pencemaran sekali gus mengurangkan risiko ketiadaan bekalan air yang disalurkan kepada pengguna.


Selain itu, Skim Bekalan Air Rasau juga dapat mengurangkan kebergantungan kepada sumber bekalan air mentah tunggal.


Buat masa ini, pengguna di Wilayah Klang bergantung sepenuhnya kepada sumber bekalan air tunggal dari Skim Sungai Selangor yang boleh berdepan risiko tinggi dengan ketiadaan bekalan air tambahan.

Apabila Skim Bekalan Air Rasau beroperasi sepenuhnya pada 2030, ia akan membekalkan sehingga 60 peratus bekalan air terawat yang bersih dan selamat ke Wilayah Klang.


Sehingga 2022, margin rizab air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya adalah pada tahap 12.02 peratus.


Bagaimanapun, Air Selangor telah mengenal pasti Sungai Klang sebagai sumber air baharu yang akan dapat membantu meningkatkan margin simpanan air hingga melebihi 15 peratus menjelang 2025, dan 17.7 peratus pada 2030.


Malah, di bawah Skim Bekalan Air Rasau air mentah akan diambil dari Sungai Klang dan kemudiannya dialirkan ke sembilan kolam seluas 489 hektar yang akan berfungsi sebagai TAPS dwi-fungsi.


TAPS dwi-fungsi itu bakal menjadi projek pertama di negara dengan keupayaan pembekalan air yang dapat menangani kemarau serta menyimpan air bagi penebatan banjir.


Sungai Klang sumber air baharu

Sungai Klang mempunyai 13 anak sungai utama dan merupakan lembangan sungai keempat terbesar di Malaysia.


Sumber itu merupakan kawasan tadahan air ketiga terbesar di Selangor dengan keluasan 1,288 kilometer persegi selepas Sungai Selangor dan Sungai Langat.


Namun, hanya tujuh peratus air dari Sungai Klang yang boleh diabstrak untuk diproses sebagai air minum.


Walaupun begitu, kualiti air Sungai Klang telah menunjukkan peningkatan sederhana pada masa kini yang mana ia berpotensi untuk dijadikan sebagai sumber air.


Dengan pelaksanaan Projek Skim Bekalan Air Rasau, pengguna di Wilayah Klang akan menerima bekalan air bersih yang lestari pada masa akan datang.


Antara kawasan yang terlibat adalah Pulau Ketam, Bandar Puteri dan Putera 2, Sentosa, Zon Bebas Pelabuhan Klang, Bukit Tinggi dan Botanik Andalas, Bayu Perdana, Bandar Klang, Persiaran Raja Muda Musa dan Teluk Gadung.


Menerusi projek ini juga, Sungai Klang akan dihidupkan kembali dan diberikan nafas baharu selain dimanfaatkan potensinya untuk aktiviti rekreasi, ekonomi dan pelancongan negara.


Fasa Pembinaan

Projek Skim Bekalan Air Rasau akan berjalan secara dua peringkat dan dijangka siap sepenuhnya menjelang 2030.


Pada peringkat pertama, Loji Rawatan Air Rasau (LRA Rasau) dijangka siap pada Jun 2025 yang berkapasiti untuk menghasilkan bekalan air bersih sebanyak 700 JLH kepada 467,000 akaun pengguna di Wilayah Klang.


Bekalan air bersih akan diagihkan ke sekitar Wilayah Klang iaitu Pulau Indah, Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), Pulau Ketam, Taman Bukit Lipat Kajang, Seksyen 16 dan Kawasan Perindustrian Bukit Rajah.


LRA Rasau pada peringkat kedua pula mampu membekalkan 700 JLH bekalan air kepada 467,000 akaun pengguna menjelang 2030 ke Wilayah Petaling, Klang dan Kuala Langat.


Jadi, secara keseluruhannya projek tersebut dijangka dapat membekalkan air sebanyak 1,400 JLH kepada 934,000 akaun pengguna dalam tempoh tujuh tahun lagi.


Sumber: Sinar Harian


Comments


bottom of page