top of page

Sistem undian JKR pengalaman baharu kontraktor G1


Sistem undian JKR pengalaman baharu kontraktor G1
Pengarah Cawangan Dasar dan Pengurusan Korporat JKR, Datuk Ir Masri Baharuddin, membuat cabutan undi berkaitan perolehan kerja bernilai RM50,000 hingga RM100,000 di JKR Hulu Langat. - NSTP/FATHIL ASRI.

Sistem undian JKR pengalaman baharu kontraktor G1

BANGI: Perolehan projek kecil secara undian dan terbuka oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) bertujuan memberi pengalaman kepada kontraktor baharu atau G1 sebelum layak mendapat projek secara tender terbuka.


Timbalan Pengarah JKR Selangor, Ir Mohd Zawawi Zakaria, berkata projek kecil itu membabitkan nilai antara RM50,000 hingga RM100,000.


Beliau berkata, kebanyakan projek berkenaan tidak memerlukan pengalaman tinggi, sebaliknya hanya perlu berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan mempunyai Perakuan Pendaftaran Kontraktor (PKK).


"Mereka juga perlu mempunyai Sijil Perolehan Kerja Kerajaan (SPKK) manakala projek yang diberi lebih mudah dan tidak rumit serta membabitkan infrastruktur.


"Antaranya kerja mencantas dahan pokok, mengecat garisan jalan, kerja membaik pulih jalan dan longkang.


"Kerja yang dinyatakan tidak fokus kepada kontraktor berpengalaman dan kepakaran tinggi, maka JKR memberi ruang kepada kontraktor baharu ini untuk dapatkan pengalaman sebelum mengikut projek yang memerlukan tender terbuka," katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan Proses Kerja-Kerja Undi di JKR Hulu Langat di sini, hari ini.


Proses undi itu membabitkan 329 kontraktor bagi 20 projek sekitar Hulu Langat dan dijangka menjalankan kerja penyelenggaraan bulan depan.


Mohd Zawawi berkata, walaupun kerja diberikan adalah projek kecil, JKR sentiasa melakukan pemantauan supaya mendapat hasil kerja berkualiti.


"Menerusi tatacara undi, JKR di setiap daerah akan menyediakan spesifikasi untuk dipatuhi kontraktor ini.


"Kita akan menempatkan wakil untuk memantau kerja yang dijalankan.


"Sekiranya spesifikasi tidak dipatuhi, pembayaran kepada kontraktor tidak akan dilakukan sehingga JKR berpuas hati dengan projek dilakukan.


"Bagaimanapun, kebanyakan daripada ini memang sudah memahami spesifikasi itu, jadi ia tidak menjadi masalah kepada mereka untuk patuhi," katanya.


Mengulas pengundian hari ini, Mohd Zawawi berkata, pihaknya menggunakan bola ping pong yang sudah dinomborkan berdasarkan jumlah kontraktor yang menyertai undi.


Bola ping pong itu kemudian dimasukkan ke dalam peti undi dan boleh dilihat oleh semua kontraktor pada hari pengundian, sekali gus menepis dakwaan wujud pilih kasih dalam perolehan projek kerajaan.


Sumber: Berita Harian


Sistem undian JKR pengalaman baharu kontraktor G1


Comments


bottom of page