top of page

SIRIM, PENSOLAR bangun loji kitar semula PV solar


Pensolar Sdn Bhd (PENSOLAR) SIRIM
Ahmad Sabirin (dua dari kiri) bersama Wong bertukar dokumen kerjasama strategik antara SIRIM dan PENSOLAR - Foto ihsan SIRIM

Pensolar Sdn Bhd (PENSOLAR) SIRIM

KULIM: SIRIM Bhd, agensi penyelidikan, teknologi dan kualiti utama Malaysia baru-baru ini mengumumkan kerjasama strategik bersama Pensolar Sdn Bhd (PENSOLAR) untuk membangunkan loji kitar semula fotovoltaik (PV) solar di Malaysia sebagai usaha menyokong inisiatif Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) negara.


Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIRIM, Datuk Indera Dr Ahmad Sabirin Arshad, berkata di bawah kerjasama strategik ini, kedua-dua organisasi akan berusaha untuk menangani peningkatan bilangan sisa panel PV solar yang akan digunakan sepanjang dekad yang akan datang.


Beliau berkata, loji kitar semula PV solar SIRIM-PENSOLAR akan beroperasi sepenuhnya pada 2024 dengan kapasiti kitar semula tahunan sebanyak 500 tan panel PV solar dan dijangka mencapai 1,500 tan menjelang 2025.


"Kerjasama selama tiga tahun ini, akan menyaksikan projek mengguna pakai model ekonomi kitaran daripada pembuatan kepada kitar semula dengan impak paling kecil kepada alam sekitar dan mengurangkan longgokan sampah di tapak pelupusan sampah.


"Projek ini juga sejajar dengan Malaysia MADANI iaitu Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan. SIRIM komited untuk melengkapi visi ini dengan memberi fokus dalam teknologi dan inovasi ke arah melindungi biodiversiti, memelihara alam sekitar dan menangani perubahan iklim," katanya dalam satu kenyataan.


Projek kitar semula PV solar adalah sebahagian daripada inisiatif ESG SIRIM untuk menjadikan Malaysia sebagai peneraju dalam sektor tenaga bagi rantau ini.


SIRIM akan proaktif untuk menyediakan penyelesaian kepada inisiatif ESG negara.


Majlis menandantangani kerjasama strategik antara SIRIM dan PENSOLAR diadakan di pejabat cawangan SIRIM di sini pada Isnin lalu.


SIRIM diwakili oleh Ahmad Sabirin manakala PENSOLAR diwakili oleh Pengarahnya, Darren Wong.


Hadir sama, Pengarah Urusan First Solar Malaysia Sdn Bhd, Datuk P'ng Soo Hong.


Sementara itu, Wong berkata, SIRIM dan PENSOLAR akan bekerjasama menjadi pelengkap untuk merealisasikan usahasama perkongsian awam-swasta.


"Matlamat kami di dalam perniagaan kitar semula Solar PV adalah inisiatif peluasan tanggungjawab pengeluar (EPR) selaras dengan polisi persekitaran kami.


"Kami yakin bahawa SIRIM sememangnya rakan kongsi terbaik untuk projek ini, memanfaatkan


ekosistem SIRIM dalam ujian, pengukuran dan penentukuran, jaminan kualiti, standard dan

pembangunan teknologi.


"Sebaik sahaja loji ini beroperasi pada 2024, kami akan bekerjasama dengan rakan kongsi lain untuk mengumpul sisa panel PV solar bagi dikitar semula," katanya.


PENSOLAR ialah penyedia penyelesaian tenaga boleh diperbaharui sehenti yang memfokuskan pada perkhidmatan penyepaduan sistem PV solar dan penyelesaian tenaga boleh diperbaharui.


Ditubuhkan pada 2013, PENSOLAR adalah pembekal sistem PV siap guna bertauliah yang telah memasang lebih 1 gigawat (GW) PV solar di seluruh rantau ini.


Sumber: Berita Harian


Comments


bottom of page