KUALA LUMPUR 2 Dis - Sime Darby Property Berhad (Sime Darby Property) mengumumkan penandatanganan perjanjian pembinaan dan pajakan baharu dengan anak syarikat milik penuh syarikat teknologi multinasional, Pearl Computing Malaysia Sdn Bhd (Pearl Computing), bagi pembangunan kemudahan pusat data tambahan.
Kemudahan pusat data itu akan dibangunkan mengikut spesifikasi yang disesuaikan dan keperluan infrastruktur, di atas tapak seluas 31.16 hektar di Elmina Business Park, yang juga berdekatan dengan pusat data pertama Pearl Computing, yang kini sedang dalam pembinaan dan dijangka siap pada awal 2026.
Dengan infrastruktur yang mantap, lokasi strategik dan pelan induk yang direka dengan teliti, Elmina Business Park, sebuah bandar perindustrian seluas 607 hektar yang memenangi pelbagai anugerah, menjadi hab perniagaan industri bebas pegangan terbesar di Lembah Klang dan destinasi pilihan bagi industri yang berorientasikan teknologi.
Pencapaian projek pusat data tambahan tersebut akan mempercepatkan lagi pembangunan bandar itu menjadi hab perindustrian yang pesat berkembang, meningkatkan daya tarikannya kepada syarikat-syarikat global.
Pembangunan infrastruktur di tapak berkenaan kini sedang dijalankan, dengan jangkaan siap pada 2027.
Selepas itu, kedua-dua pihak akan menandatangani perjanjian pajakan selama 20 tahun bernilai sehingga RM5.6 bilion, dengan pilihan untuk memperbaharuinya selama dua penggal tambahan lima tahun.
Ini merealisasikan strategi SHIFT25 kumpulan dengan meningkatkan pendapatan berulang secara signifikan dan mengembangkan aset di bawah pengurusan dalam segmen Pengurusan Pelaburan & Aset (IAM).
Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property, Dato’ Seri Azmir Merican berkata, perjanjian itu mencerminkan kemampuan Sime Darby Property untuk membangunkan, memiliki dan menyewakan pusat data yang memenuhi tuntutan ekonomi digital global, menunjukkan kecanggihan teknikal dan kebolehpercayaan operasi yang diperlukan bagi aset infrastruktur yang kompleks dan kritikal.
"Kehadiran pusat data ini di Elmina Business Park akan memperkukuhkan daya tarikan Selangor sebagai hab digital utama untuk Malaysia, disokong oleh infrastruktur yang berkembang dengan baik, dasar mesra perniagaan, serta kerjasama antara pihak berkuasa.
"Kami mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Selangor, Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Tenaga Nasional Berhad dan Air Selangor atas sokongan yang amat berharga dalam merealisasikan projek-projek ini," katanya dalam satu kenyataan.
Perjanjian tersebut adalah kesinambungan daripada kerjasama pusat data pertama Sime Darby Property yang diumumkan pada Mei tahun ini, yang menandakan penyertaan kumpulan ke dalam segmen pusat data.
Inisiatif berkenaan mewakili pengembangan kukuh ke dalam kelas aset pusat data bernilai tinggi dan mengukuhkan kedudukan Sime Darby Property sebagai pemangkin utama dalam perjalanan perubahan digital Malaysia.
Sumber: Dagang News
Comments