KUALA LUMPUR: Sidang Kemuncak Global Ekonomi dan Teknologi China (GCET) dijangka dapat memberi lebih banyak maklumat berkenaan kemampanan ekonomi dua hala antara Malaysia dan China.
Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim, berkata sidang kemuncak itu dapat memberi manfaat program Laluan Sutera Digital, di antara kedua-dua negara.
Beliau berkata, melalui sidang kemuncak itu juga, kedua-dua negara dapat menjalinkan integrasi ekonomi, inovasi dan hubungan dengan diaspora global China.
"Pada 2021, sebanyak 43 projek pembuatan dari China yang bernilai RM17.54 bilion (AS$3.98 bilion) sudah diluluskan. Ini menjana hampir 14,000 pekerjaan untuk rakyat Malaysia," katanya berucap merasmikan GCET, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Pengasas dan Penaung Sidang Kemuncak GCET, Tan Sri Lee Kim Yew; Pengerusi Institut Strategik KSI Asia Pasifik, Tan Sri Majid Khan; Setiausaha Parti dan Pengerusi Returned Overseas Chinese Federation Shandong Province, Li Xing Yu dan Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing.
Rais berkata, Malaysia dan China sudah berada dalam Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), yang kini menjadi blok perdagangan terbesar di dunia dan menyumbang 30 peratus daripada populasi dan ekonomi dunia.
Dalam kalangan negara ASEAN, katanya, Malaysia dijangka menjadi penerima terbesar daripada RCEP dari segi keuntungan eksport, dengan anggaran peningkatan lebih RM882 juta (AS$200 juta).
"Banyak pelaburan China dalam pembangunan infrastruktur di Malaysia seperti Bandar Malaysia, Malaysia-Taman Perindustrian Kuantan China (MCKIP), Projek Pembesaran Pelabuhan Kuantan, Projek The Forest City dan Projek Penjejakan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru serta Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
"Projek ECRL yang sedang berjalan dijangka mencapai tahap 37 peratus siap menjelang hujung tahun ini," katanya.
Rais turut mengimbau hubungan rapat yang terjalin dengan China.
Beliau berkata, Malaysia menjadi negara pertama di ASEAN yang menjalin hubungan diplomatik dengan China pada 1974.
Katanya, hubungan itu berjalan dengan lancar selama 48 tahun dalam bidang perdagangan, budaya, pendidikan, keselamatan dan hubungan rakyat dengan rakyat.
"Dari segi hubungan dua hala, ia semakin kukuh sama ada dari aspek kebudayaan dan etnik. Sebagai contoh, wujudnya bandar berkembar seperti Majlis Bandaraya Pulau Pinang dengan Xiamen," katanya.
Beliau juga berkata, tinjauan Pusat Penyelidikan Pew pada Jun tahun ini mendapati, enam daripada 10 atau lebih rakyat Malaysia mempunyai pandangan yang baik terhadap China, manakala lapan daripada 10 orang mengatakan hubungan antara kedua-dua negara adalah positif.
Sumber: Berita Harian
Comentários