top of page

Sidang DUN : Projek Pelebaran Lorong Tambahan Lebuh Raya Karak Dalam Proses Memuktamadkan Reka Bentuk


Lebuh raya Kuala Lumpur – Karak (KLK)

KUANTAN, 5 DISEMBER 2024 : Pihak syarikat konsesi AFA Prime Berhad kini dalam proses untuk memuktamadkan reka bentuk sebelum memulakan kerja-kerja pembinaan fizikal projek pelebaran lorong tambahan Lebuh raya Kuala Lumpur – Karak (KLK) yang dijangkakan bermula pada Januari tahun hadapan.


Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim berkata, kelewatan berkenaan adalah berikutan pertukaran pemegang saham yang baru sahaja dimuktamadkan.


“Berdasarkan Perjanjian Konsesi, tempoh pembinaan pelebaran Lebuh raya KLK adalah selama empat tahun dan dijangka siap pada tahun 2029,” katanya ketika menjawab pertanyaan dikemukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, YB. Tuan Su Keong Siong dalam Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Lisan Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.


Tambahnya lagi, projek pelebaran lebuh raya KLK terbabit akan melibatkan jarak sepanjang 45.3km dengan kos keseluruhan berjumlah RM2.1 billion yang dibiayai sepenuhnya oleh syarikat konsesi lebuh raya.


“Cadangan pelebaran lebuhraya KLK ini dijangka akan dapat menyediakan lebuh raya yang selesa, cepat, mudah dan cekap serta berupaya menangani isu kesesakan yang sering berlaku di lebuh raya KLK terutamanya pada musim perayaan, cuti umum dan hujung minggu,” ujarnya.


Menjawab pertanyaan oleh ADUN Cheka, YB. Dato’ Sri Haji Tuan Ibrahim Tuan Man berkaitan sekiranya terdapat cadangan Kerajaan Negeri untuk menghapuskan Tol Karak dan Bentong sebagai usaha mengurangkan kesesakan di lebuhraya berkenaan, YB. Dato’ Ir. Razali berkata, Lembaga Lebuh raya Malaysia (LLM) mempunyai garis panduan tertentu yang perlu dipatuhi bagaimanapun pihak Kerajaan Negeri akan memanjangkan cadangaan tersebut kepada pihak LLM untuk diperhalusi.


Sumber: Pahang Media

Comments


bottom of page