top of page

Sidang DUN: Paip Akan Laksana 41 Projek Bernilai RM794.2 Juta



KUANTAN, 06 DISEMBER 2024 : Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) akan melaksanakan 41 projek dengan kos sebanyak RM794.2 juta pada tahun hadapan.


Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, kesemua projek tersebut akan melalui proses tender pada tahun hadapan melibatkan menaik taraf, mengganti, dan membina.


“Dalam pada itu, selain daripada peruntukan RM91.97 juta untuk pelaksanaan projek bagi tahun 2025 yang telah saya umumkan Jumaat lalu, PAIP juga akan melaksana sebanyak 41 buah projek membabitkan kos RM794.2 juta menerusi pelbagai pembiaya seperti Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) serta Pembangunan Persekutuan (SDO).


“Kesemua 41 projek ini akan melalui proses tender pada tahun 2025 dan projek-projek ini melibatkan menaik taraf Loji Rawatan Air (LRA) sebanyak 10 buah, pembinaan tangki dan rumah pam sebanyak 15 buah, program penggantian paip-paip usang sebanyak 14 program, serta 2 projek berkaitan Bekalan Air Luar Bandar (BALB) dan pembinaan tangki Pra Pemendapan di LRA Mempaga, Bentong,” katanya.


“Antara projek tersebut ialah naik taraf LRA Batu Embun Fasa 5, Jerantut; naik taraf LRA Muadzam, Rompin; naik taraf LRA Jenderak Kampung, Temerloh; naik taraf LRA Janda Baik, Bentong; pembinaan tangki dan rumah pam Sungai Soi, Kuantan; pembinaan tangki dan rumah pam Bukit Hospital, Temerloh; dan penggantian paip-paip usang di kawasan Sungai Ular di Kuantan, Jeram Landak di Lipis, dan juga Pulau Tawar di Jerantut,” katanya. 


Beliau turut melahirkan hasrat Kerajaan Negeri Pahang dalam menangani isu bekalan air di Negeri Pahang bagi mencapai hasrar 90 peratus isu bekalan selesai menjelang 2026. 


“Oleh yang demikian, saya ulangi komitmen Kerajaan Negeri dalam menangani isu bekalan air di Negeri Pahang.


“Semoga hasrat Kerajaan Negeri untuk menyelesaikan 90 peratus isu bekalan air di negeri ini menjelang akhir tahun 2026 dapat dicapai,” katanya.


Beliau berkata demikian pada ucapan penggulungan pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang.


Sumber: Pahang Media

Comments


bottom of page