top of page

Sidang DUN : Kerajaan Peruntuk RM200 Juta Bagi Kerja Naik Taraf Paip


Gambar hiasan: Contoh projek naik taraf paip

KUANTAN, 4 DISEMBER 2024 : Kerajaan Pahang memperuntukkan RM200 juta bagi melaksanakan kerja-kerja menaiktaraf paip lama kepada paip baharu di seluruh Pahang sekaligus mengatasi masalah bekalan air di Pahang.


YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan juga akan meneruskan kerja-kerja menukar paip ini sehingga tahun 2026.


“Dengan peruntukan sebanyak RM200 juta yang kita belanjakan untuk menukar paip, jadi projek penukaran paip ini akan kita laksanakan sehingga tahun 2026,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemayan, YB. Tuan Khaizulnizam Mohamad Zuldin pada Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Lisan Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.


Menurutnya, Kerajaan Negeri juga sentiasa memantau perkembangan pelaksanaan oleh PAIP di mana sehingga September 2024 sebanyak 107 daripada 217 projek pembangunan bekalan air Negeri Pahang Fasa 1 telah siap dilaksanakan dengan 33 projek lagi sedang dalam pembinaan manakala 77 projek di peringkat pra-pembinaan.


Beliau berkata, bagi pelaksanaan kerja menaiktaraf bekalan air di Pahang, Kerajaan Negeri juga telah mengadakan sesi ‘task force’ ke semua daerah bagi mengumpul maklumat permasalahan bekalan air dan merangka cadangan penyelesaian.


Menjawab soalan tambahan daripada ADUN Bukit Ibam, YB. Tuan Nazri Ahmad berhubung pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) baharu di Selancar, Rompin, beliau berkata, kerajaan menyokong pembinaan LRA itu namun pihak PAIP perlu mengkaji dan meneliti terlebih dahulu keperluan pembinaan LRA tersebut sekiranya mempunyai alternatif lain bagi membantu 11,000 pemegang akaun di kawasan berkenaan.


Sumber: Pahang Media

Comments


bottom of page