KUANTAN, 3 DISEMBER 2024 : Kajian Rancangan Tempatan Majlis Daerah Lipis (Penggantian) 2035 yang telah dilaksanakan oleh Majlis Daerah Lipis (MDL) dengan kerjasama Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) Negeri Pahang bermula Mei lalu telah dicadangkan untuk mempromosikan daerah itu sebagai Bandar Warisan Sejarah.
Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB. Puan Leong Yu Man berkata, Bandar Warisan Sejarah ini merupakan satu potensi yang perlu diketengahkan melalui penjenamaan semula kerana keupayaan Daerah Lipis menarik ramai pengunjung.
“Dalam kajian tersebut telah dicadangkan untuk mempromosikan Daerah Lipis sebagai Bandar Warisan Sejarah yang merupakan salah satu potensi yang perlu diketengahkan melalui penjenamaan semula sebagai Bandar Warisan Lipis, daerah ini mampu untuk menarik lebih ramai pengunjung untuk hadir,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka, YB. Dato’ Sri Haji Tuan Ibrahim Tuan Man pada Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Lisan Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.
Menjawab soalan daripada ADUN Padang Tengku, YB. Dato’ Haji Mustapa Haji Long, berhubung penaiktarafan bangunan lama yang bersejarah di Bandar Lama Lipis oleh Perbadanan Muzium Negeri Pahang, YB. Puang Leong Yu Man berkata, pihaknya akan berbincang dan meneliti cadangan tersebut.
Dalam pada itu, YB Puan Leong Yu Man berkata, Perbadanan Taman Negeri Pahang (PTNP) dan agensi-agensi strategik lain sedang menumpukan usaha untuk memastikan Daerah Lipis mendapat pengiktirafan UNESCO Global Park (UGGp) dengan kerjasama Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).
Sumber: Pahang Media
Comments