top of page

Senai Airport City bakal terima pelaburan asing RM250 juta


Senai Airport City Sdn Bhd (SACSB)
Pembangunan perindustrian bersepadu, Senai Airport City -NSTP/Nur Aisyah Mazalan

Senai Airport City Sdn Bhd (SACSB)

SENAI: Senai Airport City Sdn Bhd (SACSB), anak syarikat milik penuh MMC Corporation Bhd (MMC) dijangka menarik masuk pelaburan langsung asing (FDI) baharu bernilai RM250 juta, tahun ini.


Proses perbincangan bagi tujuan itu kini sedang dilaksanakan dengan tiga syarikat iaitu dua dari Taiwan dan satu dari Jerman.


Ketua Pegawai Eksekutif SACSB, Gan Seng Keong, berkata FDI yang disasarkan meliputi keluasan kira-kira 40.46 hektar kawasan di pembangunan itu membabitkan sektor elektrik dan elektronik (E&E) selari dengan ekosistem SACSB fokus kepada industri bersih dan berteknologi tinggi.


"SAC menyasarkan sekurang-kurangnya 100 ekar (40.46 hektar) kawasan pembangunan SAC ini menjadi tarikan pelaburan asing tahun ini.


"Bagi keluasan itu, kami sedang melihat tiga syarikat asing dari Taiwan dan Jerman yang membawa sektor E&E memandangkan SAC sendiri fokus kepada industri bersih dan berteknologi tinggi.


"Oleh itu, ramai pelabur yang berminat melabur di SAC membawa ekosistem yang hampir sama dengan SAC sekali gus mereka juga boleh menjadi rantaian bekalan antara satu sama lain," katanya ketika ditemui pada lawatan media ke SAC di sini, semalam.


Seng Keong berkata, dengan pelaburan asing yang baharu itu, sebanyak 3,000 peluang pekerjaan bakal dimanfaatkan rakyat tempatan khususnya tenaga kerja berkemahiran.


"Syarikat yang akan melabur itu nanti adalah industri teknologi tinggi yang kebanyakannya beroperasi secara automasi jadi kebanyakkannya menggunakan tenaga kerja mahir dan dengan pelaburan asing yang masuk, sekurang-kurangnya 3,000 tenaga kerja diperlukan bagi fasa pertama membabitkan 90 peratus pekerja tempatan," katanya.


Berkongsi cabaran dihadapi SACSB pasca pandemik, Seng Keong berkata, mereka perlu menarik pelabur yang boleh mengejar garis masa yang singkat.


"Selepas pandemik, kami sememangnya menerima masuk beberapa pelabur, namun cabarannya apabila perlu menarik minat pelabur yang boleh mengejar garis masa untuk menyiapkan projek dengan segera.


"Pelabur perlu segera memulakan operasi mereka tahun ini bagi membolehkan mereka mempelbagaikan rantaian bekalan mereka di rantau Asia Pasifik," katanya.


Pada masa sama, Seng Keong berkata pihaknya berbesar hati apabila melihat usaha kerajaan negeri Johor menaik taraf Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Lebuhraya Senai-Desaru (SDE) yang menjadi laluan masuk utama ke Senai Airport City (SAC).


"Pada setiap waktu puncak, berlaku kesesakan lalu lintas yang memberi kesan kepada laluan trafik awam dan juga komersial.


"Naik taraf yang dibuat ke atas lebuh raya ini akan meningkatkan aliran logistik, sekali gus membantu operasi SAC yang lebih baik," katanya.


Untuk rekod, SAC adalah pembangunan perindustrian bersepadu seluas 1099.9 hektar yang juga antara pilihan FDI di Malaysia atas faktor infrastruktur yang sedia ada dan lokasinya yang strategik.


Menjadi pemaju induk pembangunan, SAC mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) yang dianggarkan sebanyak RM5 bilion.


Sumber: Berita Harian


6 views

Comentarios


bottom of page