top of page

Selangor bakal bentang cadangan tambah baik pengurusan banjir


Pemerbadanan Menteri Besar Selangor
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani negeri Izham Hashim berkata cadangan berkenaan akan dikemukakan menerusi satu sidang media khas selepas penganjuran satu bengkel berkaitan pengurusan air di Selangor, bulan ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Februari 2023.

Pemerbadanan Menteri Besar Selangor

KERAJAAN Selangor akan membentangkan beberapa cadangan bagi menambah baik sistem pengurusan banjir di negeri itu menerusi hasil kajian yang dilaksanakan oleh sebuah syarikat perunding.


Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani negeri Izham Hashim berkata syarikat perunding River Care Associated Sdn Bhd itu dilantik oleh Landasan Lumayan Sdn Bhd (SMG) milik Pemerbadanan Menteri Besar Selangor.


“Syarikat tersebut telah menjalankan kajian-kajian menarik untuk dijadikan nilai tambah kepada pengurusan banjir atau sumber air di Selangor serta projek-projek tebatan banjir yang sedang giat dijalankan ketika ini,” katanya kepada media di Banting hari ini.


Beliau berkata demikian selepas meninjau tapak pembinaan Jejambat Bandar Saujana Putra di Persiaran Saujana Putra yang dikatakan tergendala akibat pandemik Covid-19 dan pertambahan kabel utiliti di lokasi tersebut.


Izham berkata cadangan berkenaan akan dikemukakan menerusi satu sidang media khas selepas penganjuran satu bengkel berkaitan pengurusan air di Selangor, bulan ini.


Beliau berkata langkah penambahbaikan itu amat diperlukan terutama dalam menghadapi pemanasan bandar ekoran pelbagai projek pembangunan yang dilaksanakan menyebabkan kadar penyerapan air hujan ke dalam tanah berkurangan.


“Dahulu 50 peratus air hujan akan mengalir ke dalam longkang, manakala selebihnya diserap oleh tanah. Tapi sekarang 70 peratus air berada di permukaan dan longkang-longkang tidak boleh menampung jumlah air yang meningkat disebabkan pemanasan bandar.


“Jadi kita perlu kembali kepada langkah pencegahan yang saya akan maklumkan kemudian, antaranya adalah untuk mengurangkan jumlah 70 peratus air di permukaan itu balik ke 50 peratus supaya air tidak mengalir ke longkang,” katanya.


Dalam pada itu, Izham berkata pihaknya memberi jaminan Jejambat Bandar Saujana Putra itu akan siap Disember tahun ini dengan pertambahan peruntukan kepada RM65 juta berbanding RM54 juta sebelum ini.



Comments


bottom of page