BEIJING: Dalam lipatan sejarah, Tembok Besar China yang kukuh pernah ditembusi Genghis Khan, dan hari ini, dua pekerja pembinaan bernama Zheng dan Wang juga mahu berbuat demikian.
Agensi berita AP melaporkan, pihak berkuasa China telah menahan dua individu kerana memecahkan struktur Tapak Warisan UNESCO berkenaan, hanya untuk membuat laluan pintas.
Kawasan yang diceroboh untuk jalan pintas itu adalah di satu bahagian terpencil dengan struktur temboknya sudah mengalami kesan runtuhan. Ia jauh dari bahagian yang dipulihara dengan baik untuk dikagumi pelancong domestik dan asing.
Laporan media tempatan mendedahkan sebuah laluan tanah yang telah diratakan merentangi struktur tembok itu di sebuah kawasan perkampungan di mukim Youyu, ratusan kilometer di barat Beijing.
Pihak berkuasa mengenal pasti suspek sebagai Zheng iaitu seorang lelaki 38 tahun, dan wanita bernama Wang, 55 tahun. Mereka memberi alasan mahu menggunakan jalan pintas itu untuk memudahkan kerja-kerja pembinaan yang mereka jalankan di pekan-pekan berdekatan.
Kerajaan China sangat berbangga dan megah terhadap sistem tembok besar sepanjang 8,850 kilometer itu yang sebahagian besarnya dibina semasa zaman Dinasti Ming.
Ia menjadi lambang kuasa, sehinggalah pada tahun 1644, apabila puak Manchu dari utara akhirnya menumbangkan barisan pertahanan dan mengambil alih empayar sebagai Dinasti Qing.
Zaman dinasti yang berakhir menyaksikan tembok besar berkenaan diabaikan dan struktur batunya diambil oleh penduduk kampung setempat. Ia kembali dipulihara apabila kerajaan Komunis membangunkannya semula sebagai simbol patriotisme dan pertahanan daripada tekanan kuasa asing.
Kerajaan tempatan di mukim Youyu berkata, tangkapan ke atas dua individu itu dibuat selepas menerima aduan pada 24 Ogos lalu. Dua suspek itu kini dalam tahanan sementara menunggu tindakan undang-undang.
Sumber: Astro Awani
Selamba guna jentolak runtuhkan Tembok Besar China, hanya untuk bina jalan pintas
Comentários