SEREMBAN: Kerajaan negeri memberikan kelonggaran kepada beberapa sektor ekonomi untuk kembali beroperasi sepenuhnya bermula 2 Mei ini, tetapi dengan beberapa syarat.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata sektor ekonomi dibenarkan itu termasuk kedai barangan elektrik dan elektronik, kedai telekomunikasi serta alat ganti kereta dan motosikal.
Katanya, kebenaran juga diberikan kepada klinik veteriner dan premis penjualan, ubat-ubatan dan keperluan berkaitan haiwan serta kedai perkakasan pembinaan (hardware).
"Bagaimanapun, kebenaran operasi hanya ditetapkan setakat tiga hari seminggu, iaitu Rabu, Sabtu dan Ahad bermula 9 pagi hingga 3 petang.
"Kita juga bersetuju industri kuari dibenarkan beroperasi tetapi tertakluk kelulusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI)," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) di Bilik Gerakan, Wisma Negeri di sini, hari ini.
Aminuddin berkata, kebenaran itu dibuat selepas menyemak semula tatacara Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa keempat seiring keputusan di peringkat MITI dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Selasa lalu.
"Kerajaan negeri akan menilai semula peraturan itu berdasarkan keperluan dari semasa ke semasa," katanya.
Sumber: Berita Harian
Comments