KUALA LUMPUR - Sektor pembinaan Malaysia perlu menerima gangguan teknologi termasuk menerima pakai mekanisme dan proses baharu dalam menyahut permintaan moden, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Memandangkan dunia menghadapi cabaran dengan dinamik teknologi, sektor pembinaan juga perlu terlibat dan negara mesti bersedia untuknya.
"Saya gembira apabila mendapat tahu bahawa industri pembinaan Malaysia sangat menyukai sains dan teknologi bukan sahaja dari segi fizikal tetapi juga perisian seperti kecerdasan buatan,” katanya kepada pemberita.
Nanta mengakui wujud kekurangan tenaga kerja asing dalam industri itu sehingga terdapat masalah yang masih berlarutan.
Bagaimanapun, keadaan bertambah baik sejak beberapa bulan kebelakangan ini terutamanya dari segi tempoh masa mendapatkan pekerja asing di negara ini.
"Dengan sistem baharu yang telah dilaksanakan, kita sedang mengatasi masalah itu bersama-sama dengan Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri,” katanya.
Mengulas mengenai Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan esok di Parlimen, Nanta berkata, kementeriannya telah mengemukakan permintaan serta cadangan bagi memastikan peranan sektor pembinaan akan dipertingkatkan dalam memajukan pertumbuhan dan pembangunan ekonomi negara.
"Kami berharap kebanyakan permintaan kami (yang dibuat kepada Kementerian Kewangan) akan dijawab secara positif esok.
"Kami telah menerima beberapa petunjuk bahawa belanjawan akan memuaskan dari segi meremajakan industri kerana ia memainkan peranan kritikal dan penting dalam ekonomi serta pembinaan negara,” kata menteri itu.
Sumber: Sinar Harian
Sektor pembinaan perlu terima teknologi, tangani permintaan moden - Nanta
Komentáře