KUALA LUMPUR 4 Dis - Sektor pembinaan diyakini terus mencatatkan perkembangan pada tahun hadapan didorong buku pesanan yang kukuh, kepelbagaian dan sumbangan konsisten daripada projek pembangunan utama, kata BIMB Securities.
Katanya, permintaan sektor swasta, khususnya pusat data dan projek hartanah, terus memacu pertumbuhan, seperti yang ditunjukkan dalam prestasi kukuh Sunway Construction Group Bhd dan Kerjaya Prospek Group Bhd.
“Inisiatif perkongsian awam-swasta dan projek mega yang disokong kerajaan, termasuk laluan Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang dan usaha niaga tenaga boleh diperbaharui (RE), meningkatkan lagi prospek jangka pertengahan hingga jangka panjang sektor itu," katanya dalam satu nota kajian.
Walaupun kebanyakan syarikat di bawah liputan firma penyelidikan itu berkembang pesat, Gabungan AQRS Bhd tidak berjaya memenuhi jangkaan pasaran kerana pendapatan kumpulan itu terjejas oleh kos sekali sahaja, termasuk ganti rugi dan penyelesaian yang berkaitan dengan projek warisan.
"Kami bagaimanapun percaya, buku pesanan syarikat besar dan pembangunan hartanah dengan potensi yang baik dan nilai pembangunan kasar yang ketara kekal penting untuk prospek pertumbuhan jangka panjangnya," katanya.
BIMB Securities berkata, dalam kes Sunway Construction, kumpulan itu memanfaatkan projek pusat data bagi mengimbangi kelemahan dalam segmen konkrit pratuangnya dalam memastikan keterlihatan pendapatan yang stabil.
“Selain itu, di India, kami mendapati kutipan anuitinya sudah dijalankan untuk Lebuhraya Meensurutti-Chidambaram, manakala Lebuhraya Thorapalli-Agraharam Jittandahalli berada di landasan untuk siap pada suku kedua 2025.
"Penerokaan projek untuk kemudahan teknologi canggih di ASEAN melalui perkongsian tempatan juga mencerminkan dorongan strategik untuk kepelbagaian serantau,” kata firma penyelidikan itu.
Sementara itu, Kerjaya Prospek mencapai rekod keuntungan pada 3QFY24, disokong buku pesanan yang kukuh.
Firma penyelidikan itu berkata, peningkatan seterusnya bagi kumpulan itu dijangka datang daripada fasa pertama projek Aspen bernilai RM1.5 bilion di Batu Kawan, Pulau Pinang, yang mula memberi sumbangan bermula FY26.
Dalam ada itu katanya, Gamuda Bhd mengakhiri FY24 dengan pertumbuhan hasil tahun ke tahun sebanyak 62.4%, dipacu oleh sumbangan kukuh daripada operasi luar negaranya.
Firma penyelidikan itu menjangkakan prestasi FY25 Gamuda didorong pemulihan margin dalam bahagian pembinaannya, disokong oleh projek tempatan margin tinggi seperti LRT Pulau Pinang dan Projek Hidroelektrik UluPadas di Sabah selain pertumbuhan antarabangsa.
BIMB Securities mengekalkan saranan "pegang" untuk Sunway Construction dan "beli" untuk Gamuda dan Kerjaya Prospek dengan harga sasaran masing-masing RM4.27, RM9.82 dan RM2.30 sesaham.
Sumber: Dagang News
Comentarios