top of page

Sektor pembinaan dapat suntikan kerja pembangunan RM180 bilion


Sektor pembinaan dapat suntikan kerja pembangunan RM180 bilion

Sektor pembinaan dapat suntikan kerja pembangunan RM180 bilion

PETALING JAYA: Sektor pembinaan negara dijangka terus berkembang positif tahun ini, dirangsang anggaran peruntukan berjumlah RM180 bilion untuk kerja-kerja pembangunan.


Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata sektor pembinaan dipacu dua peruntukan dana besar daripada Belanjawan 2024 berjumlah RM90 bilion untuk perbelanjaan pembangunan yang sedang dilaksanakan.


"RM90 bilion ini adalah jumlah untuk industri pembinaan daripada kerajaan untuk tahun ini, di mana 40 peratus akan dilaksanakan separuh kedua tahun ini.


"Bila saya tanya CIDB (Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan), mereka menyatakan ada RM90 bilion lagi daripada sektor swasta, jadi ada RM180 bilion untuk sektor pembinaan dari kerajaan dan swasta yang ada di luar sana untuk direbut.


"Justeru, sektor pembinaan akan menjadi lebih aktif separuh kedua 2024 apabila banyak tender terbuka biasa dan tender prakelayakan terpilih akan diumumkan kerajaan," katanya kepada media selepas menyampaikan ceramah makan tengah hari berjudul 'Awaiting Take-Off of Construction Sector' anjuran Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF) di sini, hari ini.


Yang turut hadir, Pengerusi MBSB Group, Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad dan Pengerusi MIDF, Tan Sri Abdul Rahman Mamat.


Mengulas lanjut, Ahmad berkata, prospek industri pembinaan negara dijangka bertambah baik memasuki separuh tahun kedua 2024, apabila kerja-kerja pembinaan terutamanya membabutkan peruntukan daripada kerajaan akan mula memasuki fasa perlaksanaan.


"Sebagai contoh, berbelas pakej Lebuhraya Pan Borneo bernilai berbilion ringgit, di mana Jun atau Julai akan memuktamadkan cadangan kontraktor untuk pakej ini


"Selain itu, ia membabitkan pembinaan sekolah, hospital, klinik dan jalan raya. Surat setuju terima akan dikeluarkan untuk projek pembangunan tidak lama lagi," katanya.


Beliau menjelaskan, kerancakan pembangunan pada enam bulan kedua 2024 akan menyediakan kesan pengganda kepada semua pihak berkaitan.


"Ada banyak rangkaian dan ratusan komponen digunakan untuk pembangunan satu-satu bangunan atau struktur yang menyediakan limpahan kesan positif kepada pihak berkepentingan," katanya.


Ahmad berkata, bagi memastikan projek kerajaan dimajukan dengan lancar dan mengikut jadual, Kementerian Kerja Raya (KKR) akan mengusulkan penggunaan pengawasan kamera litar tertutup (CCTV) di tapak pembinaan.


Katanya, ia bagi memastikan kontraktor yang dilantik menjalankan amanah dengan baik dan mengikut garis masa yang ditetapkan.


"Ia satu cadangan yang baik untuk dilaksanakan dan membabitkan Kos yang tidak tinggi. Pemantauan boleh dilakukan hanya menerusi telefon pintar," katanya.



Sektor pembinaan dapat suntikan kerja pembangunan RM180 bilion

Comments


bottom of page