top of page

Sekretariat khas bantu kontraktor kelas G1


Mohd Redzuan (tengah) merasmikan program Alor Gajah Coop Run (AGCR) 2020, di Dataran Keris, Alor Gajah. - NSTP/Amir Mamat

ALOR GAJAH: Kementerian Pembangunan Usahawan menubuhkan sekretariat khas bagi meningkatkan keupayaan Kontraktor Kelas F atau G1 di seluruh negara, kata Menterinya, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.


Beliau berkata, sekretariat yang akan dianggotai beberapa badan profesional itu akan memastikan kira-kira 24,000 kontraktor yang berdaftar di Bahagian Pembangunan Kontraktor dan Usahawan (BPKU) memenuhi keperluan skop kerja mengikut kontrak projek yang mereka diperoleh.


Katanya, inisiatif terbabit bagi meningkatkan keupayaan dan kualiti kontraktor serta syarikat konsesi dilantik kerajaan.


“Sekretariat ini akan memastikan kontraktor terbabit boleh memenuhi skop kerja yang diagihkan. Kadang kala syarikat besar agak sukar menguruskan kontraktor kecil, jadi mereka pun bergabung membentuk satu sekretariat untuk menghimpunkan kontraktor kecil di bawah satu bumbung.

“Ia (penubuhan sekretariat) pada peringkat pelaksanaan, saya harap semua kontraktor G1 ini memahami peranan mereka khususnya dalam meningkatkan keupayaan diri masing-masing," katanya selepas merasmikan Alor Gajah Coop Run (AGCR) 2020 di Dataran Keris, di sini, hari ini.


September tahun lalu, kerajaan menerusi Kementerian Kewangan dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, membuka semula pendaftaran Kontraktor G1 untuk Bumiputera, selepas ia dibekukan sejak 14 tahun lalu.


Langkah terbabit akan memberi peluang kepada kontraktor baharu Bumiputera, terutama generasi muda berkelayakan teknikal itu supaya lebih aktif dalam industri pembinaan khususnya mengendalikan projek kerajaan.


Susulan langkah terbabit, Kementerian Pembangunan Usahawan mengatur langkah terbaik untuk meningkatkan keupayaan kontraktor kecil terbabit, bagi membolehkan mereka berdaya saing.


Sementara itu, Mohd Redzuan berkata, kementeriannya juga komited memastikan agensi di bawahnya memberi kerjasama supaya semua dasar digariskan sebelum ini berjalan lancar.


Katanya, penambahbaikan sistem pengurusan seperti meminimumkan proses birokrasi dan penambahbaikan dasar sedia ada adalah penting terutama dalam memastikan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dapat menyumbang 41 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini.


“Inisiatif itu juga dapat melahirkan lebih ramai usahawan PKS kerana ia komponen penting di bawah Dasar Keusahawanan Nasional (DKN) 2030 dan pemangkin hala tuju sebagai negara keusahawanan unggul menjelang 2030,” katanya.



Comments


bottom of page