KUALA LUMPUR: Seramai 11 orang daripada 145 warga asing yang dilapor melarikan diri selepas menjalani saringan COVID-19 di tapak pembinaan Pavilion Embassy dekat Jalan Ampang di sini kelmarin, berjaya ditahan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata lima daripadanya berjaya ditahan hari ini, dan enam lagi ditahan semalam.
"Buat masa ini pihak polis sedang mengesan baki pekerja warga asing yang melarikan diri.
"Kesemua yang melarikan diri itu adalah antara lebih 300 pekerja tapak pembinaan berkenaan yang disaring selepas ada rakan sekerja mereka positif COVID-19.
"Bagaimanapun kita dimaklumkan, keputusan ujian kesemua 145 pekerja itu adalah negatif," katanya pada sidang media di Bukit Aman di sini, hari ini.
Difahamkan, kehilangan 145 pekerja tapak pembinaan yang kesemuanya warga Bangladesh itu disedari pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) ketika mereka dalam proses dipindahkan ke sebuah pusat kuarantin di ibu negara.
Susulan itu, satu laporan polis kemudian dibuat pegawai KKM terbabit.
Dalam pada itu, Huzir berkata, polis sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian sembilan warga asing membabitkan enam lelaki Indonesia dan tiga Bangladesh yang melarikan diri dari sebuah pusat kuarantin di Petaling Jaya, kelmarin, selain usaha mengesan sedang dijalankan.
Selain itu, polis turut membuka satu kertas siasatan berhubung berita palsu yang tersebar mendakwa lima pegawai Menteri Kesihatan dan Kementerian Kesihatan (KKM) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Sumber: Berita Harian
Kommentare