KUCHING: Sarawak Consolidated Industries Bhd (SCIB) menerusi anak syarikat milik penuh syarikat, SCIB Industrialized Building System Sdn Bhd (SIBS) menerima Surat Anugerah dan Penerimaan (LOA) untuk kerja kontrak yang daripada S&I Urban Designers Sdn Bhd bernilai RM16.8 juta.
Kontrak itu melibatkan pembekalan dan penghantaran komponen pratuang untuk apron dan laluan teksi Projek Pembinaan Pangkalan Pasukan Gerakan Udara PDRM Sarawak.
Syarikat dalam satu kenyataan berkata, projek itu, merangkumi elemen reka bentuk dan pembinaan, dijadualkan berlangsung dari 5 Disember 2023 hingga 4 Oktober 2024, dalam tempoh 10 bulan.
Pengarah Urusan Kumpulan SCIB, Ku Chong Hong berkata, kontrak ini adalah bukti keupayaan SCIB dan komitmen syarikat untuk menyampaikan penyelesaian bangunan yang berkualiti tinggi dan cekap.
"Kepakaran kami dalam sistem bangunan berindustri meletakkan kami secara unik untuk menyumbang secara signifikan kepada projek berprestij ini.
"Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan S&I Urban Designers Sdn Bhd dan yakin perkongsian ini akan membuahkan hasil yang cemerlang, seterusnya meningkatkan reputasi kami dalam industri," katanya di sini hari ini.
Projek itu katanya, langkah penting untuk SCIB dalam mengembangkan portfolio Syarikat dalam sektor pembinaan dan EPCC, sambil menunjukkan keupayaan untuk mendapatkan dan menyampaikan projek berskala besar dan bernilai tinggi.
SCIB berharap dapat menyumbang kepada kejayaan Projek Pembinaan Pangkalan Pasukan Gerakan Udara PDRM Sarawak, dan untuk mengukuhkan lagi kedudukan Syarikat sebagai pemain utama dalam industri.
Dengan kontrak baharu ini, buku pesanan SCIB kini berjumlah RM273.99 juta, disokong lagi dengan harga saham RM0.78 dan modal pasaran RM499.4 juta pada 4 Disember 2023, pada jam 5 petang.
Sumber: Berita Harian
SCIB raih kontrak Pangkalan Pasukan Gerakan Udara PDRM Sarawak
Opmerkingen