KUCHING: Sarawak Consolidated Industries Bhd (SCIB), syarikat kejuruteraan awam, menerusi anak syarikat milik penuhnya, SCIB Industrialised Building System Sdn Bhd (SCIB IBS) dilantik sebagai sub kontraktor utama untuk projek pembangunan perumahan penting di Kelantan.
Projek berkenaan adalah di bawah SPP Development Sdn Bhd, sebuah anak syarikat Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK).
Ia merangkumi pembinaan 35 rumah teres satu tingkat dan 12 rumah teres dua tingkat, semuanya terletak di kawasan Bachok, Kelantan.
SCIB dalam satu kenyataan berkata, projek itu telah dianugerahkan kepada MinDagang Resources Sdn Bhd sebagai kontraktor utama, manakala SCIB IBS berperanan sebagai sub kontraktor utama.
Katanya, pelantikan SCIB IBS datang dengan nilai kontrak sebanyak RM8.257 juta. Tempoh pembinaan ditetapkan selama 16 bulan, dengan semua terma dan syarat akan dipersetujui dan ditandatangani dalam Perjanjian Kontrak yang akan datang.
Pengarah Urusan SCIB, Ku Chong Hong, berkata beliau amat berpuashati dengan pencapaian terbaru ini dan pemilihan SCIB IBS sebagai sub kontraktor utama untuk projek perumahan berkenaan dan menjadi bukti kepada keupayaan kukuh syarikat dalam sektor pembinaan.
"Kami menantikan untuk melaksanakan kerja yang terbaik dan memperkukuhkan hubungan kami dengan entiti kerajaan negeri untuk lebih banyak projek di masa hadapan," katanya di sini hari ini.
"Pada 4 Julai 2023, SCIB IBS menerima Surat Tawaran dari MinDagang Resources Sdn Bhd, menandakan langkah penting bagi syarikat," katanya.
Menurut beliau lagi, projek itu, yang menjadi sebahagian daripada geran persekutuan sebanyak RM400 juta untuk perumahan negeri, bukan sahaja menawarkan pembayaran yang terjamin tetapi juga menekankan reputasi SCIB yang semakin meningkat dalam industri ini.
"Pembangunan baru ini akan memperkukuhkan kestabilan dan kekuatan kewangan SCIB dan membuka jalan bagi peluang pertumbuhan masa depan, dengan ini mencipta nilai pemegang saham jangka panjang.
Selain itu, kerjasama perniagaan berterusan dengan entiti kerajaan negeri bukan sahaja meningkatkan reputasi SCIB tetapi juga membuka peluang baru untuk kumpulan SCIB," tambahnya.
Langkah strategik itu sejajar dengan matlamat syarikat untuk mengekalkan keuntungan sambil memberikan nilai kepada semua pihak berkepentingan, memperkuatkan daya tahan kewangan SCIB dalam pasaran yang kompetitif.
Sehingga akhir 3QFY2023, buku pesanan SCIB mencatat nilai kontrak terkumpul sebanyak RM495.3 juta.
Sumber: Berita Harian
SCIB dilantik sub kontraktor utama projek perumahan di Kelantan
Comments