KUALA LUMPUR: Pakar kejuruteraan awam Sarawak Consolidated Industries Bhd (SCIB) mengumumkan telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Bintai Kinden Corporation Berhad (Bintai Kinden) untuk mewujudkan pakatan strategik.
Pakatan strategik itu adalah untuk meneroka peluang perniagaan, mendapatkan projek baharu dan berkongsi keuntungan.
SCIB dalam kenyataannya berkata, MoU itu adalah langkah awal yang diambil oleh kedua-dua pihak bagi meneroka hubungan kerja dan kerjasama untuk menggabungkan kemahiran, kepakaran, keupayaan, pengalaman dan secara kolektif membida projek di Malaysia dan untuk menetapkan syarat-syarat utama perjanjian antara pihak-pihak.
Medium JV yang akan digunakan ialah anak syarikat milik penuh SCIB, SCIB Infraworks Sdn Bhd di mana SCIB akan mengekalkan 51peratus kepentingan dalam JV manakala Bintai Kinden akan melanggan baki 49 peratus.
Bintai Kinden ialah pakar perkhidmatan kejuruteraan mekanikal dan elektrikal (M&E) yang disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia, dengan gabungan unik pengalaman serantau yang luas dan pengetahuan tempatan.
Pengarah Urusan Kumpulan SCIB, Rosland Othman berkata, pihaknya mengalu-alukan kerjasama strategik ini dengan Bintai Kinden kerana kedua-dua pihak boleh memanfaatkan kekuatan dan kepakaran masing-masing yang menambah nilai kepada mana-mana projek yang terbabit bersama.
Cabang pembuatan SCIB, pengeluar produk konkrit pratuang dan Sistem Binaan Berindustri terkemuka di Malaysia Timur, sudah pun menyokong cabang pembinaan kami dalam projek di seluruh negara.
"Tumpuan kami pada penjagaan kesihatan pembinaan bersaiz kecil hingga sederhana, kemudahan pendidikan dan utiliti serta projek infrastruktur luar bandar bersama-sama dengan pelaburan dalam teknologi seperti percetakan 3D dan automasi juga menjadi kekuatan yang boleh kami manfaatkan untuk projek JV masa depan," katanya di sini hari ini.
Pengarah Eksekutif SCIB, Ku Chong Hong berkata, usaha sama ini menghimpunkan dua pasukan dengan kepakaran teras dan pengetahuan dalam pembinaan dan kejuruteraan yang akan memberi kelebihan kepada projek yang dijalankan bersama.
"Kami menjangkakan untuk melihat lebih banyak projek infrastruktur dalam perancangan memandangkan sektor pembinaan Malaysia memperoleh momentum berikutan pertumbuhan ekonomi." katanya.
Pengarah Eksekutif Bintai Kinden, Azri Azerai berkata, pihanya mengharapkan perkongsian yang bermanfaat dengan SCIB sambil mencari peluang bersama di seluruh negara.
"Kepakaran teras Bintai Kinden ialah perkhidmatan M&E, dan sebagai jurutera dan pakar perkhidmatan bangunan dan industri berbilang disiplin, kami bekerja dalam semua sektor pasaran utama, daripada bangunan komersial hingga kompleks perindustrian. Kami mereka bentuk, memasang dan mentauliahkan sistem yang merangkumi rangkaian penuh perkhidmatan kejuruteraan yang kami percaya boleh melengkapkan usahasama ini," katanya.
Sumber: Berita Harian
Commentaires