KUALA LUMPUR: Sasaran Rumah Mampu Milik yang diumumkan sebelum ini belum tercapai, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak meluluskan mana-mana projek perumahan sekiranya tidak membina projek rumah mampu milik dan Projek Perumahan Rakyat (PPR).
Secara purata, katanya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerima 3,000 permohonan PPR yang menepati syarat dalam setahun.
"Daripada jumlah ini, DBKL hanya dapat menawarkan 300 unit rumah kepada mereka yang layak.
"Itu sebabnya dasar yang saya tekankan sekarang adalah semua projek perumahan yang diluluskan, diwajibkan membina rumah mampu milik dan rumah di bawah PPR.
"Ia berikutan kalau kita kekalkan unjuran beberapa tahun ini, ia tidak akan menyelesaikan masalah," katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) sama ada kerajaan menyedari syarat permohonan menyewa rumah PPR DBKL terlalu ketat dan ingin mengetahui penyelesaiannya.
Anwar berkata, tindakan berkesan dan drastik perlu diambil dalam isu perumahan di Kuala Lumpur dan bandar besar yang bukan sahaja kritikal, malah kronik.
Katanya, beberapa syarikat merayu dan membantah syarat berkenaan, namun kerajaan tidak akan bertolak ansur kerana tiada pilihan.
"Kita mahu pembangunan diteruskan tetapi kita mesti pastikan peluang rakyat miskin memiliki rumah itu ditingkatkan sama ada beli, sewa beli atau hanya menyewa sehingga akhir hayat.
"Ada cadangan sekarang untuk membolehkan mereka menyewa dengan kadar murah sehingga akhir hayat kemudian menyerahkan kepada DBKL," katanya.
Menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) mengenai terlalu banyak agensi terbabit dengan perumahan, Anwar berkata, ada usaha untuk menyeragamkan melalui penubuhan jawatankuasa Kabinet untuk mengumpulkan semua agensi ini di bawah TPM1 dan TPM2.
"Kecenderungan kita dahulu adalah sebaik ada masalah kita tambah satu agensi, ada masalah lagi, kita tambah lagi agensi untuk kerja untuk hal yang sama.
"Pandangan Langkawi itu tepat dan bahagian perumahan pun begitu. Kalau di Wilayah Persekutuan umpamanya, semua agensi itu akan diselaraskan bagi memastikan program itu tidak bertindih," katanya.
Sumber: Berita Harian
Sasaran Rumah Mampu Milik PPR belum tercapai.
Comments