KUALA LUMPUR: Sarawak bakal menjadi pengeluar utama tenaga hidrogen hijau di rantau ini yang kini mempunyai permintaan tinggi sebagai sumber tenaga bersih.
Sasaran Sarawak itu juga dijangka dapat direalisasikan dalam tempoh beberapa tahun akan datang kerana negeri itu telah memulakan pembinaan dua loji hidrogen hijau.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, berkata permintaan untuk hidrogen hijau ketika ini berkembang pesat,apabila dunia berusaha untuk menyahkarbon ekonomi.
Beliau berkata, di rantau Asia Pasifik saja, permintaan untuk hidrogen hijau dijangka berkembang sebanyak 50 peratus setahun sepanjang sedekad yang akan datang.
Oleh itu, katanya terdapat keperluan segera untuk meningkatkan pembangunan dan pembinaan loji hidrogen hijau kerana pada tahun lalu, jumlah pengeluaran untuk hidrogen hijau meningkat lebih daripada 40 peratus kepada 38 juta tan atau separuh daripada keperluan dunia menjelang 2030.
Menurutnya, langkah pantas pembangunan loji hidrogen hijau Sarawak itu juga adalah bagi memastikan negara berada di landasan yang betul untuk memenuhi komitmen sifar pelepasan bersih menjelang 2050.
"Oleh itu, ada keperluan untuk memindahkan projek daripada peringkat Front End Engineering Design (FEED) kepada fasa pembinaan dan akhirnya operasi.
"Saya gembira untuk berkongsi bahawa projek hidrogen Sarawak kini dalam peringkat FEED dan membolehkan Keputusan Pelaburan Akhir (FID) dijangka dapat dilaksanakan pada tahun depan," katanya merasmikan Pameran & Persidangan Hidrogen Hijau Asia Pasifik 2024 (APGH 2024) di sini, hari ini.
Teks ucapannya dibacakan oleh Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Dr Hazland Abang Hipni.
Abang Johari berkata, kegunaan dan penggunaan hidrogen hijau adalah luas termasuk sebagai sumber bahan api untuk pengangkutan, dalam penjanaan kuasa melalui pembakar atau sel bahan api hidrogen (HFC), dalam proses perindustrian seperti pengeluaran metanol hijau, ammonia hijau serta bahan api penerbangan mampan (SAF).
Beliau berkata, pengeluaran hidrogen hijau dan cabang ekonominya juga akan mewujudkan peluang pekerjaan serta merangsang pertumbuhan ekonomi.
"Dianggarkan hidrogen hijau akan menjana sehingga 30 juta pekerjaan menjelang 2050 dan peningkatan hasil tahunan AS$2.5 trilion kepada ekonomi seluruh dunia," katanya.
Sementara itu, Dr Hazland berkata, dua loji hidrogen hijau Sarawak yang dilaksanakan melalui kerjasama dengan syarikat Jepun dan Korea Selatan dijangka siap sepenuhnya pada 2027.
Beliau berkata, penyiapan itu juga akan membolehkan Sarawak menjadi pengeluar utama hidrogen hijau bukan saja kepada Malaysia tetapi di peringkat serantau.
"Jumlah hasil yang akan disumbangkan daripada hidrogen hijau ketika ini tidak dapat didedahkan tetapi ia dijangka akan membuka ribuan peluang pekerjaan.
"Malah, kita juga dapat berkongsi dan bertukar maklumat serta teknologi dan kemahiran. Sejak Sarawak mula menumpukan kepada ekonomi hidrogen hijau, negeri ini mendapat banyak permintaan pelaburan berimpak tinggi.
"Lebih banyak loji hidrogen hijau akan dibina serta peluang pelaburan yang lebih besar akan dapat dicapai," katanya.
APGH 2024 akan diadakan pada 11 hingga 13 Jun 2024 bertempat di Borneo Convention Centre Kuching, Sarawak.
Sumber: Berita Harian
Sarawak bakal pengeluar utama tenaga hidrogen hijau
Comments