top of page

Sarawak akan muncul sebagai pengeluar utama bahan api bio


Mikroalga Sarawak
Mikroalga adalah sumber asli yang menawarkan penyelesaian dalam penghasilan bahan api diperbaharui.

Kuching: Penghasilan bahan api bio berasaskan mikroalga atau lumut akan meletakkan Sarawak setanding Arab Saudi dalam pengeluaran minyak dunia.


Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, mikroalga adalah sumber asli yang menawarkan penyelesaian dalam penghasilan bahan api diperbaharui.


Beliau berkata, iklim Sarawak amat sesuai bagi menghasilkan mikroalga untuk dijadikan sumber bahan mentah dalam pengeluaran bahan api bio itu.


"Ini bermakna kita tidak perlu lagi mencari minyak di luar pesisir atau darat kerana kita boleh 'menanam' minyak menggunakan mikroalga.


"Dengan itu, tidak mustahil Sarawak akan menjadi Arab Saudi baharu (sebagai pengeluar bahan api utama)," katanya.


Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.


Abang Johari berkata, ketika ini projek perintis penanaman mikroalga di kawasan seluas lima hektar di Kampung Goebilt di sini, sudah mengeluarkan hasil.


Berikutan itu katanya, kerajaan Sarawak merancang mempunyai rancangan untuk meningkatkan penanaman kepada lebih 400 hektar yang mampu menghasilkan kira-kira 500,000 tan setahun minyak mentah mikroalga atau bahan api diperbaharui.


"Ia boleh disamakan dengan kira-kira 10,000 tong minyak setiap hari dengan kira-kira 37 peratus kadar pengekstrakan minyak mentah alga daripada biojisim alga," katanya.


Justeru katanya,teknologi inovatif itu akan menjadi pemacu tambahan yang amat berharga untuk mengembangkan lagi ekonomi Sarawak.


Sumber: Harian Metro


Comments


bottom of page