top of page

Samaiden raih pendapatan RM44.56 juta pada suku ketiga


Gambar hiasan: Sistem fotovoltaik solar (PV)

PETALING JAYA: Samaiden Group Bhd (Samaiden), mengumumkan pendapatan sebanyak RM44.56 juta bagi suku ketiga berakhir 31 Mac 2023 (S3 TK2023) berbanding RM43.80 juta pada suku yang sama tahun kewangan sebelumnya.


Keuntungan sebelum cukai (PBT) untuk suku ketiga 2023 pakar tenaga boleh diperbaharui (RE) yang terbabit terutamanya dalam kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) sistem fotovoltaik solar (PV) dan loji janakuasa itu bagaimana pun menurun 52.53 peratus kepada RM2.72 juta berbanding RM5.73 juta pada suku kedua 2022.


Syarikat dalam satu kenyataan berkata, ia disebabkan margin yang lebih rendah untuk projek yang sedang dijalankan, peningkatan dalam kos kakitangan untuk menampung pengembangan berterusan yuran operasi dan profesional serta perbelanjaan penyenaraian yang ditanggung berhubung dengan penyenaraian pemindahan dari Ace ke pasaran Utama, yang selesai pada 31 Mac 2023.


Bagi suku dalam tinjauan, perkhidmatan EPCC menyumbang kepada kira-kira 99.96 peratus daripada hasil Samaiden manakala penjualan tenaga elektrik yang dijana melalui kemudahan PV solar sendiri menyumbang kepada bakinya.


Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Mac 2023 (9M TK2023), hasil meningkat 29.37 peratus kepada RM125.56 juta daripada RM97.05 juta pada 9M TK2022 manakala PBT susut kepada RM9.48 juta berbanding RM11.62 juta.


Pengarah Urusan Kumpulan Samaiden, Ir Chow Pui Hee berkata, gabungan inisiatif dan langkah kerajaan serta keperluan sektor swasta untuk mengurangkan kos tenaga dan menerima pakai komitmen Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) akan terus menyokong industri TBB.


"Kami percaya bahawa pelan peralihan tenaga Malaysia dan komitmen ESG seperti yang diumumkan di bawah Dasar Tenaga Negara 2022-2040 akan memberi impak positif kepada ekonomi melalui penciptaan pekerjaan bernilai tinggi dan pemupukan industri yang berkisar kepada teknologi hijau," katanya di sini hari ini.


"Dengan mengambil kira kos operasi dan trend pasaran, inisiatif ini memberi peluang kepada kami untuk menyediakan perkhidmatan EPCC yang komprehensif untuk sistem tenaga bersih dan loji kuasa. Komitmen kami untuk memanfaatkan kecekapan teras kami dan pengalaman luas dalam menyediakan perkhidmatan hujung ke hujung untuk projek tenaga bersih akan membolehkan kami terus memenuhi keperluan pelanggan kami yang berubah-ubah sambil memberi impak positif kepada alam sekitar," tambahnya.


Samaiden baru-baru ini menandatangani MoU di Kemboja dengan Royal Group Cambodia Co Ltd untuk membangunkan tanah di samping landasan kereta api yang dikendalikan oleh Royal Railway plc untuk RE dan aktiviti ekonomi mampan lain dan, Mong Sotheary Trading Co Ltd untuk membangunkan projek biogas di Preah Sihanouk wilayah.


Jumlah buku pesanan terkumpul Samaiden berjumlah RM245.55 juta pada 31 Mac 2023 dan dijangka menyumbang secara positif kepada hasil dan keuntungan dalam tempoh tiga tahun akan datang.


Sumber: Berita Harian


Comments


bottom of page