Kuala Lumpur: Siasatan awal kejadian tanah runtuh di lereng bukit Jalan E6, Taman Melawati, di sini, hari ini didapati berpunca daripada aliran air akibat kegagalan sistem pengaliran longkang yang tersumbat.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, Cawangan Kejuruteraan Cerun (CKC) Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah mengeluarkan amaran tahap bahaya kepada JKR Daerah Gombak dan Hulu Langat pada 4.37 petang semalam bagi mengambil langkah berjaga-jaga.
"Amaran awal ini juga sudah dipanjangkan kepada wakil Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), semalam.
"Saya juga sudah mengarahkan pasukan CKC JKR untuk ke tapak kejadian bagi mendapatkan gambaran lebih terperinci mengenai situasi di kawasan terjejas," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Satu kejadian tanah runtuh dilaporkan berlaku di kawasan lereng bukit Jalan E6, Taman Melawati pada 10.15 pagi tadi akibat hujan lebat sejak awal pagi.
Alexander turut mengesahkan, sebanyak empat rumah dan sebuah kereta terjejas akibat kejadian itu, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
"Saya memohon semua penduduk untuk mematuhi segala arahan pihak berkuasa bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini," katanya.
Sumber: Harian Metro
Comments