top of page

Rumah kongsi perlu patuh garis panduan


Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Kontraktor dan pemaju sektor pembinaan diwajibkan mematuhi garis panduan penyediaan rumah kongsi pekerja yang ditetapkan pihak berwajib.


Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, ketidakpatuhan terhadap peraturan tersebut termasuk membina dengan cara tidak sepatutnya boleh membawa kepada penularan jangkitan koronavirus (Covid-19).


Menurutnya, mana-mana pihak yang didapati gagal mengikut peraturan ditetapkan akan berdepan tindakan tegas dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) yang telah diarah melakukan pemantauan bagi pematuhan garis panduan itu.


"Kegagalan mematuhi peraturan itu boleh dikenakan denda atau tapak pembinaan ditutup. Jika itu berlaku, pastinya akan menyebabkan kerugian. Bagi mengelakkan itu berlaku, maka hendaklah patuhi peraturan.


"Bagi yang nak mulakan aktiviti pembinaan diwajibkan setiap pekerjanya membuat saringan, pastikan mereka bebas Covid-19 terutama bagi kontraktor yang banyak menggunakan khidmat warga asing yang mempunyai risiko tinggi wabak itu," katanya pada Facebook Live Kementerian Wilayah Persekutuan hari ini.


Katanya, saringan itu perlu dijalankan di klinik swasta dengan kos ditanggung sendiri oleh syarikat terlibat.


"Mana-mana kontraktor tapak pembinaan yang didapati positif Covid-19 dan jika rumah pekerja dibina atas tapak pembinaan, maka mereka tiada pilihan perlu mengosongkan tapak itu dan semua pekerja akan dikuarantin.


"Kos kuarantin itu akan ditanggung syarikat berkenaan yang lokasi kuarantin mungkin melibatkan hotel atau premis yang telah digazet sebagai pusat kuarantin," katanya.


Semalam, Annuar memaklumkan sebanyak 27 kes baharu Covid-19 dikesan di sebuah tapak pembinaan di Jalan Ampang selepas salah seorang pekerjanya mendapatkan rawatan di sebuah klinik.


Sumber: Sinar Harian


Comments


bottom of page