JOHOR BAHRU: “Har, abah kau kena hempap batu!”
Rahmah Mohamad, 73, tergamam dan berteriak memanggil anaknya sebaik melihat suaminya kaku dalam kejadian tembok runtuh menghempap rumah papan mereka di Kampung Rumah 10, Plentong, dekat sini, petang semalam.
Dalam kejadian jam 5.23 petang Rahmah menerima enam jahitan di kaki selepas tergelincir apabila kejadian itu menyebabkan rumah mereka dinaiki air sehingga paras lutut.
Anak sulung pasangan itu, Azhar Azizan, 47, sedang membetulkan atap zink rumah yang diterbangkan angin sebelum tembok batu penghadang jalan bersebelahan rumahnya setinggi 1.2 meter tiba-tiba runtuh menghempap rumah orang tuanya.
Katanya, ibunya menjerit meminta bantuan sebelum air di sebalik tembok batu itu mencurah memasuki rumah dan meranapkan kediaman.
“Kejadian berlaku pantas, bermula dengan gegaran pada tanah diikuti bunyi letupan sebelum tembok batu sebelah menghempap sebahagian rumah kami.
“Saya berlari ke bilik ayah dan melihat tembok batu sebesar tubuh manusia menghempap badan ayah.
“Saya cuba mengalihkan bongkah batu itu tetapi gagal, lalu memanggil jiran membantu mengalihnya.
"Bongkah batu itu dapat dialihkan dengan bantuan dua lagi jiran kami, ” katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.
Azhar tidak menyangka tembok batu yang baru sebulan dibina pemaju perumahan bersebelahan kampung itu menghempap kediaman ibu bapanya, sekali gus membawa takungan air seperti banjir.
“Rumah kami terletak di kawasan rendah berbanding taman perumahan itu yang dibina di paras lebih tinggi, maka apabila tembok penghadang jalan itu runtuh, ia meranapkan rumah kami.
“Syukurlah bongkah itu tidak menghempap kepala ayah,” katanya.
Katanya, mereka kini menumpang di rumah saudara buat sementara waktu.
“Laporan polis sudah dibuat dan wakil pemaju ada datang berjumpa tadi meminta perkara ini diselesaikan dengan baik,” katanya., Azizan Ibrahim, 73, patah bahu kiri dan cedera di kepala apabila tembok batu penghadang jalan bersebelahan rumah menghempap bilik tidurnya.
Sumber: Berita Harian
Comentários