top of page

Rugi bersih WCE Holdings Bhd susut kepada RM10.58 juta, didorong kos faedah yang dikenakan



KUALA LUMPUR 29 Nov - Kerugian bersih WCE Holdings Bhd bagi suku kedua berakhir 30 Sept 2024 (2QFY25) menyusut kepada RM10.58 juta daripada RM24.17 juta setahun lalu didorong oleh kos faedah yang dikenakan selepas pembinaan sudah siap.


Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu melaporkan hasil suku tahunan menyusut 34.4% kepada RM151.16 juta daripada RM230.51 juta sebelumnya dan mencatatkan kerugian sesaham sebanyak 35 sen daripada 81 sen pada 2QFY24.


Bagi enam bulan terkumpul, kerugian bersih WCE meningkat kepada RM36.44 juta daripada RM50.58 juta setahun lalu, manakala hasil menguncup kepada RM226.73 juta daripada RM346.55 juta.


WCE berkata, segmen tolnya meneruskan pertumbuhan mantap, melaporkan peningkatan 128% dalam hasil kutipan tol untuk 2Q25 berbanding suku tahun sebelumnya didorong oleh jumlah trafik yang lebih tinggi berikutan pembukaan bahagian tambahan iaitu Seksyen 1, Seksyen 6 dan Seksyen 11.


West Coast Expressway Sdn Bhd, anak syarikat milik 80% WCE, terus mencatatkan kemajuan ketara pada 2Q25 dengan pembukaan Seksyen 1 (Banting-Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE)) pada 31 Ogos 2024 dan tol bermula 30 September 2024.


“Bahagian ini akan menyediakan akses terus ke SKVE, mempertingkatkan lagi infrastruktur jalan raya di sekitar serta kesalinghubungan Lebuhraya Pantai Barat.


"Pembukaan Seksyen 1, Seksyen 6 (Bandar Bukit Raja Utara-Assam Jawa) dan Seksyen 11 (Beruas-Taiping Selatan) baru-baru ini telah meningkatkan jumlah trafik harian WCE dengan ketara, di mana purata trafik harian keratan bagi tempoh kewangan semasa meningkat sebanyak 83% berbanding FY24.


"Pembukaan bahagian baharu telah menyumbang kepada peningkatan besar dalam hasil kutipan tol, meningkat 128% daripada RM13 juta pada 2QFY24 kepada RM29.8 juta pada 2QFY25," kata syarikat itu dalam satu kenyataan berasingan.


WCE menjangkakan kerugian awal pada tahun-tahun awal operasi tol akibat pemberhentian perbelanjaan faedah yang dipermodalkan untuk bahagian yang telah siap.


Syarikat itu berkata, bahagian selebihnya yang akan dibuka secara berperingkat itu dijangka meningkatkan hasil kutipan tol dan bersedia untuk meningkatkan prestasi kewangan masa depannya secara positif dari segi aliran tunai dan hasil operasi.


"Apabila tol sudah mula beroperasi sepenuhnya dengan jumlah trafik yang meningkat dan stabil, kami menjangkakan peralihan ke arah keuntungan kerana pertumbuhan hasil akan mengatasi kos faedah," katanya.


Sumber: Dagang News

Comments


bottom of page