KUALA LUMPUR: Pelaksanaan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) bernilai RM15 bilion yang diluluskan kerajaan sebelum ini akan tetap dilaksanakan melalui kaedah perolehan tender terbuka.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata pelaksanaan projek RTB melalui penyusunan semula senarai projek mengikut keutamaan dan menawarkan harga indikatif bagi mengehadkan tawaran pembida di luar julat harga mampu memberi penjimatan sehingga RM1.8 bilion.
"Projek RTB yang diluluskan pentadbiran terdahulu akan dilaksanakan dengan kaedah perolehan tender terbuka. Dianggarkan hasil tender terpilih yang akan dilaksanakan ini mampu memberi penjimatan sehingga RM1.8 bilion.
"Pelaksanaan projek RTB itu akan disegerakan bermula selewat-lewatnya Jun ini setelah proses tender dimuktamadkan," katanya pada sesi penggulungan usul Belanjawan 2023, di Dewan Rakyat, hari ini.
Sebelum ini, Perdana Menteri mengarahkan semua projek RTB bernilai RM600 juta ke atas diarahkan supaya diluluskan dan disegerakan mulai Jun ini.
Keputusan kerajaan menyegerakan projek RTB segera itu bagi mengelakkan bencana banjir berulang semula sekali gus menjejaskan rakyat.
Pada masa sama, Nik Nazmi berkata, kerajaan dianggarkan terpaksa menanggung jumlah kerugian lebih RM500 juta di Johor, sekiranya berlaku kerosakan struktur empangan dan struktur lain di kawasan hilir empangan akibat kenaikan aras air mendadak ekoran hujan lebat.
Beliau berkata, pelepasan air daripada empangan adalah tindakan yang perlu diambil bagi mengelakkan risiko kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda yang lebih tinggi selain empangan pecah akibat risiko limpahan air di struktur utama, seterusnya mengakibatkan kejadian banjir yang lebih besar.
Katanya, atas dasar itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melepaskan air dari beberapa empangan di Johor susulan hujan lebat berterusan dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dalam Manual Penyelenggaraan Operasi.
"Langkah itu diambil dengan mengambil kira ramalan hujan lebat yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia).
"Taburan hujan yang luar biasa dari 28 Februari hingga 3 Mac di Johor adalah sebanyak 548 milimeter (mm) melebihi purata hujan bulanan jangka panjang bagi Mac untuk Johor iaitu 195mm sebulan.
"Ia menyebabkan kenaikan aras air yang mendadak dan demi menjaga keselamatan integriti struktur empangan, pintu air dibuka lebih besar bagi menurunkan aras air empangan," katanya.
Beliau berkata, pelepasan ini dapat mengelakkan risiko limpahan air di struktur utama empangan yang boleh menyebabkan empangan pecah seterusnya mengakibatkan kejadian banjir yang lebih besar.
Katanya, pelepasan air ini adalah tindakan yang perlu diambil bagi mengelakkan risiko kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda yang lebih tinggi.
Sementara itu, kerajaan bersetuju untuk menampung subsidi bil elektrik berjumlah RM10.76 bilion bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2023 untuk pengguna domestik dan pengguna bukan domestik dalam kategori voltan rendah (Low Voltage – LV).
Beliau berkata, ia meliputi pengguna yang terdiri daripada Perniagaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) termasuk restoran, kedai runcit, bengkel kecil serta pengguna dalam kategori pertanian seperti petani, penternak dan pekebun.
"Ini bermakna, seramai 9.5 juta pengguna elektrik yang mewakili 99 peratus daripada keseluruhan pengguna di Semenanjung Malaysia tidak akan terkesan dengan kenaikan kos bahan api penjanaan elektrik," katanya.
Sumber: Berita Harian
Comments