top of page

RMK12: JKR Sabah kaji semula proses kerja



Kota Kinabalu: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah akan mengkaji semula dan memperbaiki proses kerja sebagai persiapan untuk melaksanakan projek pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang bermula tahun depan.


Pengarah JKR Sabah, Ali Ahmad Hamid berkata, sistem penyampaian berkesan termasuk menerusi penggunaan teknologi digital bagi memastikan projek pembangunan kerajaan yang dirancang di negeri ini berjalan lancar.


Katanya, persiapan awal perlu berikutan jangkaan projek pembangunan yang bakal dilaksanakan di Sabah dan Sarawak bertambah dalam RMK12 berbanding Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).


"Kita bakal berdepan banyak cabaran dalam RMK12 yang memerlukan komitmen dan tindakan semua pihak, lebih lagi fasa akhir RMK11 sekarang masih banyak projek gagal dimulakan dan ia perlu dilaksanakan selewat-lewatnya awal tahun depan.


"Sehubungan itu warga JKR tidak boleh mengambil sikap sambil lewa. Jabatan perlu meletakkan satu hala tuju jelas dengan melihat aspek urus tadbir yang perlu diperkasakan.


"Banyak proses kerja yang terpaksa dikaji semula dan diperbaiki untuk meningkatkan sistem penyampaian. Kita tidak mahu pelaksanaan projek tertangguh dan merugikan rakyat," katanya dalam satu kenyataan, di sini.


Beliau yang berkhidmat selama 35 tahun di JKR Sabah baru dilantik sebagai pengarah jabatan itu menggantikan Datuk Richard Jomiji Kinsil.


Ali Ahmad berkata, sistem penyampaian JKR perlu diutamakan seiring dengan kemajuan teknologi digital yang turut digunakan untuk memantau pelaksanaan projek pembangunan.


Sementara itu, beliau berkata, sebagai pengarah baharu, beliau bertekad untuk memastikan JKR Sabah dapat menyediakan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat negeri ini.


"Strategi lama yang masih relevan akan diteruskan tetapi jika ada strategi sebelum ini tidak berkesan ketika pelaksanaan projek dalam RMK11, kita akan ganti dengan strategi baru yang lebih berkesan dalam pelaksanaan projek pembangunan di bawah RMK12," katanya.


Sumber: Harian Metro


Commenti


bottom of page