PEKAN - Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) menerima peruntukan sebanyak RM9.5 juta daripada kerajaan Persekutuan untuk memulihkan projek rumah generasi kedua yang terbengkalai di Felda Chini 3 di sini.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peruntukan yang diterima sejak April lalu melibatkan 29 unit rumah teres setingkat yang terbengkalai dan akan dipulihkan bermula September ini.
Menurutnya, ia juga termasuk melaksanakan kerja-kerja infrastruktur bagi tapak asal pembinaan 100 unit rumah di tapak tersebut.
"Projek menyiapkan rumah terbengkalai ini telah dirancangkan sebelum kematian ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Chini, Datuk Seri Abu Bakar Harun pada 6 Mei lalu.
"Jadi tidak timbul isu projek ini disambung atas sebab PRK (Pilihan Raya Kecil) ini tapi telah dirancangkan lebih awal lagi," katanya.
Beliau berkata demikian pada ceramah pemimpin bersama masyarakat di Tapak Pasar Tani Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Pusat Bandar Dara, Chini di sini malam tadi.
Turut hadir Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan, Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru Tan Sri Shahrir Abd Samad, Yang DiPertua Pas Pekan Abu Kassim Manaf.
Wan Rosdy berkata, isu yang dimainkan kononnya kerajaan tidak ambil perhatian, tidak mengambil peduli berhubung isu ini dan hanya menitikberatkan bila ada PRK tidak betul sama sekali.
“Itu tohmahan dan fitnah yang jelas menunjukkan mereka cuba menggambarkan seolah-olah Allahyarham Datuk Abu Bakar Harun dan kerajaan tidak berbuat apa-apa untuk membantu mereka,” katanya.
Beliau berkata, asalnya projek ini membabitkan 100 unit rumah teres setingkat dengan kos RM17.8 juta dan Felda telah melantik kontraktor pada September 2013 lagi bagi membangunkannya.
Katanya, bagaimanapun kontraktor berkenaan gagal menyiapkan keseluruhan 100 unit rumah tersebut tetapi sekadar 29 unit itupun tidak siap sepenuhnya hingga memaksa Felda menamatkan (khidmat) kontraktor berkenaan.
"Menurut rekod yang diperoleh menerusi pejabat Felda Wilayah Kuantan, penamatan kontraktor itu dibuat pada Mei 2018 kemudian usaha memulihkan kembali projek itu diteruskan dengan pembentangan Pelan Penyelamatan dan Pelan Penyiapan kepada kerajaan Persekutuan pada Julai dan Oktober 2018.
"Ini disusuli rundingan demi rundingan dengan pelbagai pihak antara Jun 2019 dan Februari 2020 antaranya dengan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA) serta Kementerian Kewangan sehinggalah keputusan kelulusan peruntukan pada April 2020," katanya.
Wan Rosdy berkata, baki 71 unit rumah lagi akan diusahakan oleh pihak Felda dengan kos sebanyak RM6.4 juta atas kiraan RM90,000 harga bagi satu unit rumah.
"Kita jangkakan projek ini siap dalam tempoh setahun. Cuma saya harap, kontraktor yang dilantik kali ini tidak jadi macam dulu. Bila dah ‘award’ gagal, hingga menyusahkan rakyat,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
Comments