TELUK INTAN: Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan sebanyak RM82.5 juta untuk lima projek pembangunan di Teluk Intan termasuk rancangan tebatan banjir pada tahun ini.
Perkara itu diumumkan oleh Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, ketika lawatan ke Pasar Besar Teluk Intan, dekat sini, hari ini.
Katanya, projek tebatan banjir membabitkan perbelanjaan RM80 juta akan dimulakan tahun ini dan dijangka siap pada 2026 dengan tender terbuka.
"Projek ini membabitkan kerja-kerja yang berat sepanjang enam kilometer (km) di pesisir Sungai Perak, sebab itu dijangka siap lama, tetapi kita akan beri penekanan supaya ia dapat siap sepenuhnya dalam penggal ini juga.
"Proses tender terbuka akan dijalankan pada bulan ini juga, tidak ada lagi kelewatan. Kita akan buka tender dan kerja-kerja boleh dimulakan tiga bulan lagi.
"Saya jangka selepas projek tebatan banjir ini selesai, kita bukan sahaja dapat mengelakkan Teluk Intan daripada banjir kilat, tetapi ia juga menjadi satu lagi tarikan pelancongan dengan pelbagai aktiviti pelancong di sekitar tebatan banjir," katanya.
Peruntukan sebanyak RM2.5 juta daripada Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi empat projek menaik taraf dan penyelenggaraan infrastruktur awam di Teluk Intan.
"Empat infrastruktur itu membabitkan Medan Selera Glutton Square di Jalan Ah Cheong dengan peruntukan RM600,000; Pusat Penjaja di Jalan Maharani (RM600,000); Pasar Besar Teluk Intan (RM800,000) dan Taman Rekreasi Riverfront di Jalan Mahkamah (RM500,000).
"Empat projek itu akan siap menjelang hujung tahun ini dan diselia oleh Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI)," katanya.
Sumber: Berita Harian
תגובות